MADRID: Aryna Sabalenka terus membuktikan status sebagai pencabar utama apabila mara ke pusingan 16 terbaik Terbuka Madrid dengan kemenangan bergaya 6-1, 6-4 ke atas Jaqueline Cristian sekali gus melanjutkan rentetan kemenangan kepada 14 perlawanan.
Pemain No.1 dunia itu mempamerkan permainan hampir sempurna terutama dalam set pertama dengan memenangi 89 peratus mata servis selain menonjolkan variasi pukulan yang jarang dilihat termasuk backhand sebelah tangan yang mencuri tumpuan.
“Terutama dalam set pertama, itu adalah tahap permainan yang luar biasa daripada saya dan saya sendiri tidak sangka boleh melakukan backhand sebelah tangan yang agak gila itu.
“Saya rasa itu mungkin pukulan terbaik dalam hidup saya dan ia benar-benar memberi keyakinan tambahan untuk terus menguasai perlawanan,” kata Sabalenka.
Dalam perkembangan sama, juara bertahan 2024, Iga Swiatek terpaksa menarik diri ketika ketinggalan 0-3 dalam set penentuan menentang Ann Li akibat jangkitan virus perut yang menjejaskan tahap tenaganya.
“Saya sudah melawan virus ini sejak dua hari lalu dan berharap masih mampu menang walaupun keadaan fizikal sangat teruk serta langsung tiada tenaga.
“Saya dengar ada virus berlegar di kalangan pemain di sini dan walaupun saya rasa akan pulih dalam beberapa hari, hari ini memang mustahil untuk bersaing,” kata Swiatek. – AGENSI/UTUSAN










