Suspek serang majlis Trump dihadap ke mahkamah

Suspek serang majlis Trump dihadap ke mahkamah

IMEJ yang dikeluarkan Trump di akaun Truth Social menunjukkan Cole Tomas Allen ditahan selepas insiden tembakan di Majlis Makan Malam Wartawan Rumah Putih di Hotel Washington Hilton.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Suspek tembakan yang didakwa menyerbu majlis media dihadiri Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Hotel Washington Hilton berdepan dua pertuduhan di mahkamah pada Isnin.

Memetik sumber penguatkuasaan undang-undang, CBS News melaporkan suspek, Cole Tomas Allen, 31, berbalas tembakan dengan ejen Perkhidmatan Rahsia tetapi tidak mengalami kecederaan, akan dihadapkan ke mahkamah daerah persekutuan di Washington untuk proses pertuduhan awal.

Menurut Peguam Negara AS, Jeanine Pirro, suspek akan berdepan pertuduhan menggunakan senjata api semasa melakukan jenayah keganasan serta menyerang pegawai persekutuan dengan senjata berbahaya.

Pegawai penguatkuasa undang-undang berkata, lelaki dari California itu tiada rekod jenayah lampau dan tidak pernah berada dalam perhatian pihak berkuasa di Washington dan dilaporkan bekerja sebagai seorang tutor.

Ketua Polis Washington DC, Jeffery W Carroll berkata, suspek merupakan tetamu hotel tempat acara itu berlangsung dan bilik yang ditempahnya dikawal ketat ketika polis menjalankan siasatan. 

Sumber berkata, suspek tidak menyatakan Trump sebagai sasaran khusus, sebaliknya merujuk secara umum menyasarkan pegawai yang berkaitan dengan Presiden AS tersebut. 

Dalam kejadian pada Sabtu, Trump dan isterinya, Melania diselamatkan daripada majlis makan malam Persatuan Wartawan Rumah Putih oleh ejen Perkhidmatan Rahsia, selepas suspek melepaskan tembakan menggunakan senapang patah ke arah anggota keselamatan.

Serangan itu menyebabkan orang ramai bersembunyi di bawah meja dalam suasana huru-hara apabila pasukan Perkhidmatan Rahsia menyerbu masuk ke majlis tersebut.

Kira-kira dua jam selepas insiden itu, Trump memberitahu wartawan di Rumah Putih, pegawai terbabit terselamat kerana memakai jaket kalis peluru dan berada dalam keadaan baik. Trump turut berkongsi gambar dan video suspek di media sosial. 

“Pada pandangan saya, dia bertindak seorang diri,” katanya sambil menganggap lelaki berkenaan ‘tidak sihat’ dan tidak stabil.

Trump juga menyifatkan lokasi acara itu sebagai ‘tidak begitu selamat’, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan presiden selepas beberapa kelemahan kawalan sebelum ini.

Beliau turut merancang untuk menjadualkan semula majlis media tersebut dalam tempoh sebulan walaupun insiden keselamatan berlaku.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×