PASIR MAS: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan dan denda RM3,000 kepada seorang pemandu jentolak selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melarikan dan mengurung pemilik kedai emas di Kampung Palekbang, Tumpat dekat sini, tahun lalu.
Saifuldin Mohammad, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menjalankan niat umum bersama dua orang yang telah dituduh dan seorang masih bebas melarikan Marzuki Mustapha, 45, secara paksa dengan niat untuk menyebabkan mangsa dikurung secara sulit dan salah.
Kesalahan itu dilakukan di tepi jalan di Kampung Palekbang, Tumpat dekat sini kira-kira pukul 7.20 pagi pada 20 Mei 2025.
Saifuldin didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Siti Aiysha Na’ilah memohon hukuman setimpal dikenakan untuk memberi pengajaran kepada tertuduh.
Saifuldin merayu agar mahkamah mengurangkan hukuman penjara yang akan ditetapkan kepadanya.
Mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara 30 bulan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 20 April lalu dan denda RM3,000.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan bersubahat dengan bekas pemain bola sepak Kelantan melarikan dan mengurung seorang pemilik kedai emas di Kampung Palekbang, Tumpat, tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Hairie Ab. Rahman, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersubahat dengan Cik Hisammudin Hassan, 51, untuk melarikan Marzuki Mustapha, 45, secara paksa dengan niat untuk menyebabkan mangsa dikurung secara sulit dan salah. – UTUSAN










