Kecoh tembakan ketika majlis media Trump, hadirin menyorok bawah meja

Kecoh tembakan ketika majlis media Trump, hadirin menyorok bawah meja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Tembakan dilaporkan dilepaskan ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menghadiri majlis makan malam media di Washington, menurut saksi dan wartawan AFP selepas bunyi letupan kuat kedengaran di lokasi hotel.

Tetamu yang menghadiri majlis rasmi White House Correspondents’ Dinner dilaporkan bertempiaran mencari perlindungan di bawah meja.

Pasukan taktikal bersenjata mengambil posisi di pentas tempat Trump sebelum ini duduk, sebelum beliau dipindahkan keluar dari lokasi.

Polis mengepung Washington Hilton, lokasi acara berlangsung, manakala helikopter berlegar di ruang udara.

Media AS termasuk CNN melaporkan Trump memetik Perkhidmatan Rahsia AS memaklumkan Trump dan isterinya, Melania Trump serta Naib Presiden, JD Vance dan semua anggota kabinet berada dalam keadaan selamat selepas insiden tembakan di majlis tersebut.

Laporan awal menyatakan seorang suspek penembak telah ditahan.

Laporan tidak rasmi turut menyebut seorang individu cedera, tetapi punca kecederaan masih belum jelas.

Insiden berlaku selepas ucapan pembukaan dan ketika makan malam berlangsung, sebelum Trump dijadualkan berucap.

Beberapa pegawai pentadbiran Trump dilaporkan dipindahkan terlebih dahulu, sementara keadaan sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan.

Seorang pegawai kabinet, Mehmet Oz berkata, tembakan dilepaskan di tingkat atas ketika beliau dibawa keluar oleh pasukan keselamatan.

Trump sebelum ini pernah menjadi sasaran cubaan pembunuhan semasa satu perhimpunan di Butler, Pennsylvania pada tahun 2024. Seorang penembak melepaskan beberapa das tembakan, membunuh seorang peserta dan Trump cedera ringan di bahagian telinga.

Beberapa bulan kemudian, seorang lagi lelaki ditahan selepas ejen perkhidmatan rahsia melihat laras senapang muncul dari semak berhampiran padang golf di West Palm Beach ketika Trump sedang bermain.

Hotel Washington Hilton juga pernah menjadi lokasi bekas Presiden Republikan, Ronald Reagan ditembak oleh seorang penyerang pada tahun 1981.

Penganjur memaklumkan majlis makan malam tersebut akan diteruskan walaupun insiden berlaku.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×