Azam zahirkan penghargaan kepada Agong, tidak berhasrat menceburi bidang politik

Azam zahirkan penghargaan kepada Agong, tidak berhasrat menceburi bidang politik

AZAM Baki (tengah) bergambar bersama selepas merasmikan Majlis Penyerahan Masjid Kariah Kampung Terentang, Padang Lebar, Kuala Pilah, hari ini. - UTUSAN/ NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong atas kepercayaan yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Pelantikan semula sebanyak tiga kali sebelum ini merupakan satu penghormatan besar buatnya sepanjang menerajui agensi tersebut.

Azam, 63, menzahirkan penghargaan itu selepas Datuk Seri Abdul Halim Aman dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuat kuasa pada 13 Mei ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Seperti sedia maklum 12 Mei adalah tarikh akhir perkhidmatan saya dan di sini saya ingin merafak sembah menjunjung kasih kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku atas kepercayaan yang diberikan selama ini.

“Pelantikan semula sebanyak tiga kali merupakan satu penghormatan kepada saya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Masjid Kariah Kampung Terentang, Padang Lebar, di sini.

Turut hadir pada majlis sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Faudzinaim Badaruddin.

Azam turut mengarahkan semua pegawai dan kakitangan SPRM agar memberikan kerjasama penuh kepada Ketua Pesuruhjaya yang baharu.

Katanya, perkara itu penting bagi memastikan kesinambungan operasi serta kecemerlangan SPRM terus diperkukuh dibawah kepimpinan baharu.

“Saya mengarahkan semua pegawai dan warga SPRM untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada Ketua Pesuruhjaya yang baharu tanpa sebarang perpecahan.

“Saya yakin kecemerlangan SPRM akan terus dipamerkan oleh seluruh pegawai di bawah kepimpinan baharu nanti,” katanya.

Mengenai perancangannya selepas tamat perkhidmatan, Azam berkata, beliau masih belum membuat sebarang keputusan setakat ini dan tidak berhasrat menceburi bidang politik.

“Perancangan saya belum tahu lagi kerana saya masih sihat, boleh berjoging, berbasikal dan sebagainya. Jadi, saya tidak akan berhimpun di Sogo akan datang.

“Saya bukan orang politik tetapi saya merupakan seorang insan pegawai kerajaan yang berbakti kepada masyarakat,” katanya.

Azam dilantik sebagai Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 bagi menggantikan Latheefa Koya, sebelum kontraknya disambung sebanyak tiga kali yang akan tamat pada 12 Mei ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini