MARANG: Hasrat seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian ke menara gading hampir terkubur apabila keluarganya tidak mampu menjelaskan bayaran yuran penginapan asrama.
Sophia Solehah Shari, 18, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman dekat sini, menerima tawaran mengikuti program Peneraju Profesional Akauntan Muda (ACCA FIA) kategori A di sebuah kolej swasta di Johor Bahru.
Anak kepada pesara warden Jabatan Penjara, Shari Isa itu adalah antara 10 pelajar sekolah berkenaan yang terpilih menerima biasiswa daripada Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB).
Sophia Solehah yang mendapat keputusan cemerlang iaitu 8A (3A+, 5A) dalam SPM 2025 lalu berkata, semua kos pengajian termasuk yuran pendaftaran berjumlah lebih RM5,000 ditanggung sepenuhnya oleh pihak yayasan.
Namun katanya, pihak pengurusan kolej menetapkan setiap pelajar perlu menjelaskan bayaran pendahuluan asrama sebanyak RM1,600 sebelum pendaftaran.
“Dengan pendapatan ibu bapa yang terhad, kami tidak mampu menyediakan bayaran penginapan tersebut.
“Disebabkan kekangan itu, saya hampir mengambil keputusan menolak tawaran ini walaupun bidang perakaunan adalah cita-cita saya sejak kecil,” katanya ketika ditemui di Kampung Rhu Muda, Seberang Marang.
Menurutnya, dia diberi tempoh sehingga 5 Mei ini untuk menjelaskan bayaran berkenaan sebelum mendaftar masuk ke kolej.
Dia yang juga penerima manfaat program tuisyen percuma Madani sebelum ini mengakui buntu dan hampir berputus asa sehingga bercadang mencari pekerjaan bagi membantu keluarga.
“Mujur Yayasan Pendidikan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) tampil menghulurkan bantuan. Saya akan melapor diri pada 5 Mei ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pendidikan Maidam, Norhana Yaakub berkata, pihaknya segera tampil menghulurkan bantuan selepas dimaklumkan mengenai kes berkenaan.
Menurutnya, hasil semakan mendapati pelajar tersebut layak menerima bantuan di bawah kategori dana amanah zakat asnaf Ibnussabil selain bantuan awal kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT).
“Bantuan ini diharap dapat meringankan beban keluarga sekali gus memastikan pelajar ini dapat meneruskan pengajian tanpa halangan kewangan,” katanya.
Kata beliau, sehingga kini pihaknya telah membelanjakan sebanyak RM5.4 juta bagi bantuan pendidikan kepada pelajar kurang berkemampuan, selain RM11.6 juta lagi di bawah agihan fisabilillah. – UTUSAN










