Malaysia perkukuh jaminan bekalan beras melalui kerjasama Vietnam

Malaysia perkukuh jaminan bekalan beras melalui kerjasama Vietnam

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia memperkukuh langkah menjamin kestabilan bekalan dan harga beras negara menerusi pemeteraian kerjasama pertanian dua hala dengan Vietnam.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerjasama itu penting memandangkan Vietnam merupakan antara pengeksport beras terbesar ke Malaysia.

Katanya, langkah tersebut dilihat mampu memastikan harga beras di pasaran tempatan kekal kompetitif dan stabil dalam keadaan ketidaktentuan global ketika ini.

“Sebagai sebahagian daripada agenda keterjaminan makanan negara, Malaysia melihat Vietnam sebagai rakan strategik utama kerana negara itu merupakan pengeksport beras terbesar ke Malaysia.

“Kami berharap kerjasama erat yang telah terjalin dapat diteruskan bagi menjamin harga beras yang kompetitif dan stabil untuk keperluan pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, beliau menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Menteri Pertanian dan Alam Sekitar Vietnam, Trinh Viet Hung di Hanoi.

Selain beras, kerjasama itu turut membuka peluang memperluas akses pasaran bagi produk Malaysia ke Vietnam, khususnya produk nilai tambah berasaskan ayam, telur cecair pasteur, produk itik, sarang burung walet dan makanan haiwan peliharaan.

Dalam pada itu, katanya, kedua-dua negara turut memberi tumpuan kepada pembangunan sektor perikanan mampan melalui kerjasama dalam bidang akuakultur.

“Kerjasama ini berpotensi meletakkan Malaysia dan Vietnam sebagai peneraju di rantau ASEAN dalam mempromosikan amalan perikanan mampan,” katanya.

Sementara itu, hubungan perdagangan pertanian antara Malaysia dan Vietnam terus mencatat momentum positif apabila nilai dagangan mencecah RM12.64 bilion tahun lalu.

Malaysia mengeksport pelbagai produk makanan, manakala import dari Vietnam melibatkan kopi, koko, teh, rempah-ratus dan makanan diproses.

Dalam perkembangan sama, Mohamad berkata, cabaran keterjaminan makanan global kini semakin meruncing susulan konflik antarabangsa, perubahan iklim dan ketidakstabilan ekonomi.

Sehubungan itu, katanya, kerjasama dengan Vietnam dilihat mampu membantu Malaysia memperkukuh rantaian bekalan makanan melalui pemodenan pertanian serta transformasi digital.

Pada masa sama, beliau turut menjemput Vietnam menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) dari 28 Ogos hingga 6 September ini yang bertemakan “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×