Kota Baca 2026 sasar 100,000 pengunjung

Kota Baca 2026 sasar 100,000 pengunjung

SEBAHAGIAN murid membaca buku sempena Program Kota Baca 2026 di Perpustakaan Kuala Lumpur, Dataran Merdeka hari ini. -UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Program Kota Baca 2026 yang berlangsung di ibu negara menyasarkan kehadiran antara 50,000 hingga 100,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya.

Pegawai Komunikasi Korporat, Mohd. Hairul Hasraf Niwan berkata, penganjuran kali ini memberi penekanan kepada usaha penjenamaan (branding) bagi memperkukuh kedudukan Kota Baca sebagai platform utama pemerkasaan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, pelbagai aktiviti menarik disediakan antaranya jualan buku rakyat yang menampilkan pelbagai pilihan bahan bacaan untuk semua lapisan masyarakat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami menyediakan sebanyak 88 reruai yang melibatkan lima kementerian serta agensi, selain menghimpunkan penerbit dan penjual buku di bawah satu platform.

“Kita juga menampilkan puluhan penjual buku dalam segmen jualan buku rakyat bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pengunjung,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Program Kota Baca anjuran Perbadanan Kota Buku (PKB) bermula 23 hingga 26 April ini di Dataran Merdeka sebagai usaha memperkukuh budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan itu merupakan sebuah acara literasi berskala nasional bersempena Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026.

Dalam pada itu, kata Mohd. Hairul, PKB turut menyasarkan penganjuran program Kota Baca untuk diperluas ke lokasi-lokasi terpilih di seluruh negara.

“Insya-Allah, jika perancangan berjalan lancar, Kota Baca akan dianjurkan secara berpindah-pindah ke negeri lain seperti Kedah dan Pulau Pinang pada tahun akan datang,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini