Ryt Bank perkenal kemudahan BNPL pada kad debit

Ryt Bank perkenal kemudahan BNPL pada kad debit

RYT Bank
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ryt Bank memperkukuh ekosistem pembayarannya dengan memperkenalkan ciri Ryt PayLater secara terus pada Ryt Card, sekali gus membolehkan pelanggan menikmati fleksibiliti pilihan ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ (BNPL) di lebih 150 juta premis rangkaian Visa di seluruh dunia.

Melalui kemas kini ini, perkhidmatan Ryt PayLater yang sebelum ini hanya terhad kepada imbasan DuitNow QR kini diperluas kepada rangkaian pembayaran Visa di seluruh dunia melibatkan lebih 150 juta peniaga.

Integrasi ini menjadikan Ryt Bank antara institusi kewangan pertama di Malaysia yang menawarkan pengalaman BNPL yang lebih universal kerana ia digabungkan secara terus dengan kad debit fizikal.

Ketua Pegawai Eksekutif Interim Ryt Bank, Wilson Soon berkata, fleksibiliti kewangan seharusnya mudah dan tidak membebankan pengguna dalam menguruskan aliran tunai harian mereka.

“Dengan mengaktifkan Ryt PayLater pada Ryt Card, kami memberikan pelanggan kawalan yang lebih besar terhadap perbelanjaan mereka, sama ada untuk membayar terus atau membahagikan pembayaran dalam tempoh masa tertentu,” katanya dalam kenyataan.

Ryt PayLater menawarkan had kredit segera sehingga RM1,499 kepada pengguna yang layak, dengan kelebihan kadar faedah sifar peratus sekiranya baki dijelaskan dalam kitaran penyata pertama.

Sempena pelancaran itu, pengguna baharu akan menerima pulangan tunai sebanyak 1.2 peratus bagi transaksi Ryt PayLater yang layak.

Selain itu, pengguna Ryt Card fizikal boleh mendapatkan pulangan tunai RM12 apabila berbelanja lima kali dengan nilai minimum RM20 bagi setiap transaksi.

Dalam pada itu, Ryt Bank turut memberi bayangan mengenai pelancaran produk pelaburan baharu, Ryt Invest tidak lama lagi.
Produk ini akan disepadukan sepenuhnya dalam aplikasi Ryt Bank bagi membolehkan pengguna mula melabur dengan cara yang lebih mudah dan mampu milik.

Langkah ini memperkukuh komitmen Ryt Bank dalam menyampaikan penyelesaian kewangan yang praktikal serta berpusatkan pelanggan, merangkumi aspek perbelanjaan, pembayaran dan pertumbuhan kekayaan dalam satu ekosistem digital yang lancar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×