Tekanan gaji, kekurangan tenaga kerja jejas margin sektor pengguna

Tekanan gaji, kekurangan tenaga kerja jejas margin sektor pengguna

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peningkatan struktur gaji serta keadaan pasaran buruh yang semakin ketat dijangka terus memberi tekanan terhadap margin syarikat dalam sektor pengguna di negara ini.

Kenanga Research berkata, keanjalan keuntungan bersih sektor itu dijangka semakin bergantung kepada kecekapan tenaga kerja memandangkan kesan peningkatan kos berbeza mengikut model perniagaan.

“Menangani tekanan kos buruh kini menjadi pemacu utama kepada daya tahan margin dalam sektor pengguna.

“Gaji minimum nasional yang kini ditetapkan pada RM1,700 turut disemak setiap dua tahun.

“Dengan semakan seterusnya dijangka pada September 2026, langkah dasar seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak dua peratus bagi pekerja asing yang berkuat kuasa Oktober 2025 serta pelaksanaan sistem levi berperingkat dijangka terus meningkatkan kos operasi,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Firma penyelidikan itu berkata, Fraser & Neave Holdings Bhd. dan Nestlé (Malaysia) Bhd. muncul sebagai peneraju dari segi produktiviti tenaga kerja.

“F&N merekodkan hasil bagi setiap pekerja sebanyak RM1.35 juta dan pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) sebanyak RM194,100 bagi setiap pekerja, manakala Nestlé mendahului dengan hasil RM1.44 juta bagi setiap pekerja.

“Sebaliknya, pemain berorientasikan runcit seperti MR DIY Group (M) Bhd. dan AEON Co. (M) Bhd. mencatatkan prestasi lebih rendah berikutan model operasi yang intensif buruh.

“Syarikat-syarikat ini merekodkan hasil kurang daripada RM460,000 bagi setiap pekerja dan EBIT di bawah RM50,000, mencerminkan prestasi lebih perlahan dalam kalangan peruncit yang bergantung kepada tenaga kerja barisan hadapan untuk operasi kedai,” jelasnya.

Kenanga turut menekankan wujudnya pertukaran antara pengurusan kos buruh dan kestabilan operasi.

“Walaupun Farm Fresh Bhd. menonjol dari segi kecekapan kos dengan kos kakitangan hanya 5.2 peratus daripada jualan, peruncit seperti Power Root Bhd. dan MR DIY mencatatkan nisbah lebih tinggi masing-masing 19.2 peratus dan 15.0 peratus.

“Bagi mengurangkan tekanan tersebut, syarikat mula beralih kepada automasi.

“Sebagai contoh, F&N telah melabur dalam gudang automatik yang dijangka menjimatkan sehingga RM30 juta setahun, manakala MR DIY memulakan operasi kemudahan automatik bernilai RM100 juta pada Ogos 2024 dengan sasaran penjimatan RM10 juta setahun,” ujarnya.

Tambahnya, AEON turut memperluas penggunaan kaunter layan diri (self-checkout) dengan kadar penggunaan meningkat kepada 52 peratus pada tahun kewangan 2025.

Kenanga mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor pengguna.

Firma itu turut mengekalkan F&N sebagai pilihan utama dengan saranan ‘outperform’ dan harga sasaran RM37.70, disokong profil perniagaan makanan dan minuman yang berdaya tahan.

Selain itu, saranan ‘outperform’ turut dikekalkan ke atas MR DIY dengan harga sasaran RM1.80, mengambil kira kedudukannya sebagai pilihan nilai berpatutan ketika pengguna beralih kepada perbelanjaan lebih berjimat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×