KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu melaksanakan penjajaran semula belanjawan negeri dengan memberi tumpuan kepada suntikan insentif ekonomi termasuk mengurangkan perbelanjaan bagi program-program keraian.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah pengubahsuaian itu bertujuan memastikan perbelanjaan kerajaan lebih berfokus kepada usaha merancakkan ekonomi berasaskan sektor keutamaan.
“Penjajaran semula ini menjurus kepada pendekatan sector based, iaitu memberi tumpuan kepada sektor yang mempunyai rantaian ekonomi paling luas serta penglibatan rakyat yang ramai, tanpa mengabaikan sektor lain berdasarkan sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut memperkenal beberapa langkah sokongan bagi membantu rakyat menghadapi tekanan ekonomi semasa.
Antaranya pemberian moratorium sehingga 12 bulan kepada peminjam Skim Pinjaman Modal Tani (SPMT) selain mempertimbang moratorium bagi peminjam Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS).
Mengulas prestasi kewangan negeri, Ahmad Samsuri berkata, Terengganu mencatatkan peningkatan hasil yang memberangsangkan apabila merekodkan RM454.69 juta pada tahun 2025 berbanding RM267.77 juta pada tahun sebelumnya.
“Pencapaian ini adalah satu sejarah baharu kerana sebelum ini hasil negeri tidak pernah melepasi angka RM300 juta,” katanya. – UTUSAN










