JOHOR BAHRU: Jabatan Insolvensi Malaysia merekodkan 31,517 kes bankrap sejak 2021 hingga bulan lalu dengan hampir separuh daripadanya berpunca daripada kegagalan membayar pinjaman peribadi.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 15 peratus bersamaan 4,704 kes membabitkan individu yang berusia 34 tahun ke bawah.
“Sebanyak 14,582 kes atau 46 peratus daripada keseluruhan kes direkodkan berpunca daripada pinjaman peribadi, dengan melibatkan 4,704 individu yang berusia 34 tahun ke bawah.
“Oleh sebab itu, kesedaran kewangan ini perlu kita tingkatkan, Dasar Peluang Kedua (DPK) ini membolehkan mereka yang telah terjebak atau terkesan dalam isu bankrap dapat memulakan kembali kehidupan dari sudut kewangan,” katanya selepas menyempurnakan Program DPK 3.0 – Pelepasan Fast Track 2026 di Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim (IPGKTI), di sini hari ini.
Akmal Nasrullah berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada ikhtiar kerajaan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pengurusan dan literasi kewangan.
Katanya, selain menguruskan isu bankrap, kerajaan juga perlu memikirkan solusi bagi mencegah perkara itu daripada terus berlaku dengan cara memupuk kesedaran daripada awal.
“Program kali ini merupakan kesinambungan dasar kita untuk memberi peluang kedua kepada mereka yang sebenarnya telah diisytiharkan bankrap. Cuma bagi fasa ini, ia tertumpu kepada empat kumpulan bangkrap iaitu mereka dengan status sebagai ibu atau bapa tunggal; peminjam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS); mangsa penipuan kewangan atau pembeli rumah projek terbengkalai,” katanya.
Sementara itu, mengulas tentang peningkatan kadar inflasi 1.7 peratus bulan lalu berbanding 1.4 peratus pada Februari lalu, Akmal Nasrullah berkata, kerajaan akan mengambil langkah mitigasi bagi memastikan rantaian bekalan mencukupi di pasaran.
Katanya, penyumbang terbesar kepada peningkatan inflasi adalah daripada segi pengangkutan yang dipengaruhi kenaikan kos bahan api susulan konflik di Asia Barat.
“Cumanya, kenaikan itu agak sederhana kerana dari segi tindakan atau dasar kerajaan ini yang cuba mengimbangi antara tujuan fiskal dan juga tujuan mengawal inflasi dalam perbelanjaan harian rakyat.
“Setakat ini, kita menumpukan kepada soal menguruskan kesan geopolitik itu dari segi isu bekalan yang kita boleh peroleh bagi memastikan sektor ekonomi dapat berjalan,” katanya lanjut. – UTUSAN









