Op Sky: Tiga lagi pegawai bank berdepan tuduhan rasuah lebih RM400,000

Op Sky: Tiga lagi pegawai bank berdepan tuduhan rasuah lebih RM400,000

Pegawai bank rasuah
MUHAMMAD Najmi Mu’az Pekan (kiri) dan Muhammad Hafiz Farhan Mohd. Nor Izam antara tiga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan rasuah lebih RM400,000, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tiga lagi pegawai bank yang ditahan dalam Operasi (Op) Sky dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan rasuah bernilai hampir setengah juta ringgit melibatkan tindakan pemberian pinjaman ‘luar biasa’ sejak 2021 hingga tahun lalu.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh, Muhammad Najmi Mu’az Pekan, Muhammad Hafiz Farhan Mohd. Nor Izam dan Mohd. Kamarulzaman Zainudin mengaku tidak bersalah atas 43 pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan Muhammad Najmi, 34, berdepan empat pertuduhan melibatkan keseluruhan RM25,740.01, sementara Muhammad Hafiz Farhan, 30, dikenakan sembilan pertuduhan dengan nilai keseluruhan RM46,092.40.

Mohd. Kamarulzaman, 40, pula berdepan pertuduhan terbanyak iaitu 30 dengan jumlah suapan didakwa diterima sebanyak RM378,166.20.

Kesemua wang itu diterima sebagai upah atau dorongan membantu memproses permohonan pinjaman peribadi pelanggan sebuah syarikat pengurusan kewangan antara Disember 2021 hingga Disember 2024.

Jurubahasa yang mengambil masa selama satu setengah jam bagi membacakan kesemua kertas pertuduhan itu memaklumkan kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan dekat tiga cawangan bank berbeza di Cheras, Klang dan Bangi.

Justeru, mereka dituduh di bawah Seksyen 16(a)(A) dan Subseksyen 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Di akhir prosiding, Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud membenarkan Muhammad Najmi, Muhammad Hafiz Farhan dan Mohd. Kamarulzaman masing-masing diikat jamin sebanyak RM5,000, RM7,000 dan RM30,000.

Mahkamah turut memerintahkan kesemua tertuduh mematuhi syarat tambahan dikenakan itu melaporkan diri ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada minggu pertama setiap bulan.

Sebutan semula kes bagi Muhammad Najmi dan Muhammad Hafiz ditetapkan pada 17 Disember ini dan Mohd. Kamarulzaman pula pada 9 Disember. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN