PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan kes sembuh Covid-19 antara tertinggi dunia dengan jumlah kes dicatatkan sebanyak 572,113 iaitu 90 peratus daripada kumulatif kes positif setakat kelmarin.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, jumlah itu hampir menyamai kadar sembuh jangkitan wabak itu di dunia iaitu pada kadar 91 peratus mengikut capaian data Worldometer.info.
Menurut beliau, bagi negara-negara Asia Tenggara lain, kadar peratusan kes sembuh seperti Thailand (79 peratus), Singapura (99 peratus) dan Indonesia (92 peratus).
“Contoh negara-negara lain pula seperti Amerika Syarikat mencatatkan kadar sembuh 83 peratus, United Kingdom (UK) dengan 94 peratus dan India, 95 peratus,” katanya di sini semalam.
Kes sembuh harian di negara ini secara konsisten merekodkan lebih tinggi berbanding kes positif sejak 7 Jun lalu dengan tertinggi direkodkan sebanyak 8,334 kes sejak pandemik itu melanda Malaysia.
Ia selepas kes positif mula menunjukkan penurunan dengan tertinggi pernah direkodkan pada 29 Mei lalu sebanyak 9,020 kes.
Adham berkata, sejak kemunculan pandemik, Kementerian Kesihatan membangunkan protokol rawatan Covid-19 yang dikemas kini berdasarkan saranan badan antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kajian saintifik dan keberkesanan rawatan ke atas pesakit-pesakit di Malaysia dan di luar negara.
Bagaimanapun kata beliau, sehingga kini tiada ubat khusus bagi merawat Covid-19 dan protokol rawatan terkini adalah berpandukan tahap klinikal Covid-19, status klinikal pesakit, keputusan ujian makmal dan radiologi serta pelan rawatan pesakit.
Menurut beliau, pelan rawatan bagi pesakit Covid-19 di Malaysia adalah berdasarkan lima tahap klinikal iaitu Tahap 1, Tidak bergejala; Tahap 2 – Bergejala tanpa radang paru-paru; Tahap 3 – Bergejala dengan radang paru-paru; Tahap 4 – Bergejala dengan radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen dan Tahap 5 – Pesakit kritikal dengan penglibatan pelbagai organ.
“Rawatan am bagi pesakit Covid-19 pula, mereka harus mendapat rawatan simptomatik seperti ubat demam, sokongan pemakanan yang optimum, pemeliharaan keseimbangan cecair dan elektrolit badan.
“Tanda-tanda vital pesakit perlu dipantau secara rapi sesuai dengan tahap klinikal untuk mengetahui perkembangan penyakit,” katanya.
Adham berkata, pesakit Covid-19 tahap 4 dan 5 akan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan penglibatan pelbagai disiplin bagi penjagaan yang komprehensif.
Katanya, protokol rawatan bagi pesakit intensif adalah seperti sokongan alat bantuan pernafasan dan tanpa alat bantuan pernafasan (Ventilatory dan non-Ventilatory) bagi pesakit yang serius dan tidak stabil.
Selain itu jelas beliau, rawatan pesakit kategori itu menggunakan ubat-ubatan berdasarkan tahap klinikal dan keadaan pesakit (Antiviral, Antibiotik dan Immuno-modulatory) bagi memperbaiki respons sistem pertahanan tubuh dan mengelakkan keadaan darah beku di dalam saluran darah.
“Rawatan cecair atau infusi intravena akan diberikan kepada pesakit bagi mengekalkan keseimbangan hemodinamik badan.
“Rawatan sokongan lain termasuk pemberian nutrisi melalui tiub kepada pesakit yang dimasukkan ke ICU dan pemantauan parameter klinikal yang lain,” katanya.
Beliau berkata, protokol itu sentiasa dikemas kini berdasarkan perkembangan terkini dan bukti saintifik dari semasa ke semasa berdasarkan komitmen kementerian dalam memberikan rawatan yang terbaik kepada pesakit Covid-19. – UTUSAN











