PETALING JAYA: Dua peguam di sebuah syarikat guaman direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu.
Dokumen palsu itu bagi pengeluaran dana pemegang amanah untuk satu projek pembangunan hartanah di ibu negara berjumlah kira-kira RM8 juta untuk kepentingan peribadi dan pelaburan.
Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira pukul 9.45 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada 2023 hingga 2025.
“Wang berjumlah kira-kira RM8 juta iaitu wang amanah yang sepatutnya digunakan bagi penyelenggaraan sebuah bangunan dipercayai masih belum diserahkan kepada pihak pemaju,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd. Hafaz Nazar ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Perintah reman selama empat hari sehingga 25 April ini dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret, Putrajaya pagi tadi. – UTUSAN











