PUTRAJAYA: Kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur di Zon Pentadbiran Taman Persekutuan Bukit Kiara yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) susulan kejadian banjir lumpur baru-baru ini, hampir selesai sepenuhnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pihak JKR telah memasuki kawasan terjejas bagi memantau keadaan serta melaksanakan penambahbaikan fasiliti bagi menampung aliran air hujan.
Menurutnya, situasi di lokasi berkenaan dilihat masih mencabar kerana setiap kali berlakunya hujan lebat, aliran lumpur akan keluar dari kawasan tersebut.
“Kita telah wujudkan pusat operasi di situ, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan JKR ada di tapak berkenaan bersama pihak kontraktor. Setakat ini saya nampak kerja penambahbaikan hampir selesai tetapi ia kena diuji nanti.
“Saya juga telah maklumkan perkara ini kepada Menteri Kerja Raya dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan kerana tapak tanah itu milik Jabatan Landskap Negara, itu projek jabatan landskap tetapi kontraktor itu dipilih oleh JKR,” katanya.
Hannah berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkembangan terkini kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur di Bukit Kiara susulan kejadian banjir lumpur pada Sabtu lalu selepas merasmikan Program Jati Diri Tuition Mission Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya 2026 di sini hari ini.
DBKL sebelum ini sudah mengarahkan pemberhentian kerja serta-merta membabitkan sebuah projek di Zon Pentadbiran Taman Persekutuan Bukit Kiara, Kuala Lumpur, susulan kejadian banjir lumpur di Jalan Abang Haji Openg, pada Sabtu.
Hannah berkata, kompaun juga dikenakan ke atas kontraktor yang terbabit, manakala kerja pembersihan sedang dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bersama DBKL.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Segambut berkata, projek itu berada di bawah Jabatan Landskap Negara (JLN) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang dilaksanakan oleh JKR. – UTUSAN











