HAT YAI (THAILAND): Dianggarkan kira-kira RM52 juta dibelanjakan rakyat Malaysia sepanjang tempoh empat hari penganjuran Festival Songkran di bandar ini, Muaeng Songkhla dan Danok bermula 13 April lalu.
Jumlah itu dianggarkan berdasarkan perbelanjaan minimum RM522 setiap pengunjung atau keluarga yang melibatkan kira-kira 100,000 rakyat Malaysia.
Presiden Persatuan Hotel Hat Yai-Songkhla, Dr. Sittipong Sittipattaraprapha berkata, acara Hatyai Midnight Songkran 2026 telah menarik kira-kira 500,000 pelancong asing dan tempatan ke bandar ini.
“Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 100,000 adalah pelancong Malaysia yang tiba pada pagi 10 April untuk menyertai Festival Songkran di bandar ini.
“Festival berkenaan menjana pendapatan kepada sektor pelancongan dan perniagaan di bandar ini sehingga satu bilion baht (RM123.66 juta),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sittipong berkata, sepanjang tempoh itu, sebanyak 26,400 bilik hotel ditempah dan dihuni oleh pelancong Malaysia di ketiga-tiga bandar berkenaan.
“Kami sangat berpuas hati dengan jumlah kunjungan rakyat Malaysia pada Festival Songkran kali ini. Kami menyasarkan 50 peratus tetapi yang hadir adalah 85 peratus,” ujarnya.
Katanya, persatuan dan Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) Wilayah Songkhla merancang lebih banyak program pada masa depan untuk menarik kunjungan pelancong Malaysia.
“Apa yang lebih penting adalah sama ada Hat Yai kembali pulih ke tahap sebelum banjir besar yang melanda November tahun lalu.
“Setakat ini hotel di Selatan Thailand belum bercadang menaikkan kadar harga bilik, walaupun peningkatan harga diesel memberikan kesan kepada pemain industri,” katanya. – UTUSAN










