PUTRAJAYA: Kerajaan dijangka mengumumkan inisiatif tambahan bagi membantu golongan yang masih tersisih daripada peluang pekerjaan akibat krisis tenaga minggu depan sempena sambutan Hari Pekerja.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini ada menyentuh mengenai langkah tambahan itu.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, langkah itu mungkin akan diumumkan pada sambutan Hari Pekerja minggu hadapan.
“Ya. Kemungkinan (langkah tambahan akan diumum) pada minggu depan. Ada disentuh sedikit pada (mesyuarat Kabinet) hari ini.
“Tapi lebih kepada beberapa angka mengenai mengesan jumlah yang dimaksudkan,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Pada masa sama, Fahmi berkata, perkara sama juga akan dibawa pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) minggu depan.
Perdana Menteri sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan akan mengumumkan langkah tambahan dalam masa terdekat, bagi membantu golongan yang masih tersisih daripada peluang pekerjaan susulan krisis bekalan global.
Katanya, ia termasuk golongan siswazah dan lulusan diploma yang masih buntu mencari pekerjaan bagi memastikan kemahiran mereka tidak disia-siakan begitu sahaja. – UTUSAN











