Kontrak Bestinet: Rafizi dedah pernah hantar bantahan bertulis kepada KDN - Utusan Malaysia

Kontrak Bestinet: Rafizi dedah pernah hantar bantahan bertulis kepada KDN

rafizi
RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli menyangkal dakwaan tidak pernah membantah kontrak syarikat konsesi pengurusan pekerja asing, Bestinet Sdn. Bhd. (Bestinet) ketika berada dalam Kabinet.

Mohd. Rafizi berkata, beliau telah membuat bantahan bertulis berhubung cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyambung kontrak Bestinet untuk tempoh tiga tahun.

Katanya, bantahan dikemukakannya tercatat dalam rekod minit Jemaah Menteri dan rekod ulasan rasmi yang diberikan Kementerian Ekonomi.

“Cadangan berkenaan Bestinet dibawa oleh KDN dan dibentangkan di Jemaah Menteri sekitar pertengahan 2024. Ketika itu, (Setiausaha Politik kepada Menteri Sumber Manusia), Aizuddin (Abd. Ghafal) adalah Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Dalam Negeri.

“Sepatutnya beliau ingat mengenai bantahan bertulis dari saya dan Kementerian Ekonomi. KDN mencadangkan untuk menyambung kontrak Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS) dengan Bestinet untuk tempoh tga tahun sahaja atau sehingga Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIIse) beroperasi.

“Sebagai sebuah agensi pusat, Kementerian Ekonomi berhak memberi pandangan kepada Jemaah Menteri mengenai cadangan itu. Secara rasmi, saya telah menyatakan tidak bersetuju dan memohon cadangan itu diteliti semula oleh KDN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Rafizi berkata, pendiriannya dan Kementerian Ekonomi ketika itu adalah berasaskan beberapa perkara iaitu Kementerian Sumber Manusia telah membelanjakan RM20 juta peruntukan pembangunan untuk membangunkan sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) yang dimiliki kerajaan.

Katanya, sistem ePPAx telahpun siap dan dibangunkan bagi tujuan pengurusan pekerja asing.

“Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Jemaah Menteri telah meluluskan pelaksanaan Multi Tier Levy Management (MTLM) untuk mengurangkan pengambilan pekerja asing secara berperingkat.

“Kementerian Sumber Manusia memang telah mencadangkan agar sistem ePPAx digunakan bagi tujuan pengurusan penggajian pekerja asing dan MTLM.

“Untuk tujuan penggunaan ePPAx, Kementerian Kewangan juga telah meluluskan peruntukan mengurus sebanyak RM10 juta untuk menaik taraf sistem ePPAx untuk pelaksanaan MTLM,” katanya.

Katanya, bantahannya terhadap FWCMS dan pelanjutan kontrak dengan Bestinet itu direkodkan secara rasmi dalam minit mesyuarat Jemaah Menteri.

“Jika itu dibuat dan memang benar saya tidak bersuara seperti didakwa, ia sekali gus boleh menutup mulut saya kerana Kerajaan Madani dapat membuktikan saya hanya bersuara selepas tidak menjadi menteri, untuk memainkan naratif kononnya saya seorang yang kecewa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×