WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membuat kenyataan mendakwa China membekalkan senjata atau bekalan perang berbahaya kepada Iran, satu langkah yang disifatkan boleh menguji ‘garis merah’ terhadap bantuan kepada Teheran semasa perang.
Dalam temu bual dengan CNBC Trump berkata, AS menahan sebuah kapal yang membawa ‘hadiah’ dari China, ketika menyentuh mengenai usaha Washington menambah bekalan senjatanya, sekali gus memberi isyarat tanpa menyatakan secara jelas penghantaran itu mungkin bantuan ketenteraan kepada Iran.
“Kami menahan sebuah kapal semalam yang membawa beberapa barangan yang tidak begitu baik, mungkin hadiah dari China, saya tidak tahu.
“Saya fikir saya sudah ada persefahaman dengan Presiden China, Xi Jinping, tetapi tidak mengapa. Begitulah perang, bukan? ” katanya dalam temu bual itu.
Rumah Putih tidak memberikan sebarang komen segera berhubung perkara itu.
Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun dalam satu taklimat menjawab laporan yang belum disahkan mengenai kaitan Beijing dengan penghantaran bahan kimia untuk peluru berpandu.
“Setakat yang saya tahu, kapal yang dirampas oleh AS adalah kapal kontena asing. China menolak sebarang kaitan atau spekulasi yang tidak benar,” jelasnya.
Kedutaan China di Washington turut menegaskan negara itu mengurus eksport produk ketenteraan secara berhati-hati dan bertanggungjawab serta mengawal ketat eksport barangan dwi-guna.
Walaupun pegawai AS menyatakan Russia membantu Iran sepanjang konflik, peranan China masih kurang jelas.
Beijing lazimnya mengelakkan pembekalan senjata dalam konflik luar negara atau melanggar sekatan AS secara terbuka.
Sebarang bantuan ketenteraan kepada Teheran berisiko mengundang tindakan ekonomi, selepas Trump mengancam tarif 50 peratus ke atas mana-mana negara yang membekalkan senjata kepada Iran, dengan menegaskan tiada pengecualian akan diberikan.
Namun, menurut laporan CNN pada awal April, perisikan AS menunjukkan China sedang bersedia menghantar sistem pertahanan udara baharu kepada Iran dalam beberapa minggu akan datang, termasuk sistem peluru berpandu anti-pesawat mudah alih.
Trump dan Jinping dijadualkan bertemu di Beijing pada pertengahan Mei, selepas pertemuan yang dirancang pada April ditangguhkan susulan perang Iran.-AGENSI










