PETALING JAYA: Kumpulan AmBank menyalurkan kemudahan pembiayaan berjumlah RM102.40 juta kepada Gajahsuria Power Sdn. Bhd. (GSP) bagi menyokong pembangunan projek solar berskala besar 5 (LSS5) di Kampung Gajah, Perak.
Projek berkapasiti 29.99 megawatt arus ulang alik (MWac) itu diterajui oleh Constant Energy Malaysia Holding Sdn. Bhd. (CEMH) bersama rakan konsortium, Sun Energy Ventures Sdn. Bhd. dan BayWa r.e. Energy Solutions Sdn. Bhd.
Pembiayaan tersebut akan digunakan bagi membiayai modal kerja dan kos pembangunan loji fotovoltaik (PV) solar tersebut yang dianugerahkan di bawah program LSS5 oleh Suruhanjaya Tenaga.
Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan AmBank, Christopher Yap berkata, pembiayaan itu mencerminkan komitmen berterusan bank dalam memajukan infrastruktur mampan serta menyokong transisi Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon.
“Kami menyasarkan untuk bekerjasama dengan rakan strategik seperti Constant Energy dan konsortiumnya bagi memacu penyelesaian tenaga masa hadapan yang memberi impak besar,” katanya dalam kenyataan.
Loji solar di Kampung Gajah itu dianggarkan bernilai RM128 juta dan dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada Julai 2027.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Constant Energy, Frank Constant berkata, pihaknya komited untuk membina dan mengendalikan projek tersebut mengikut piawaian tinggi bagi menyokong peralihan tenaga jangka panjang di Malaysia.
“Dengan keupayaan tempatan yang kukuh, kami terus berusaha mengembangkan portfolio tenaga boleh baharu (TBB) di seluruh Asia Tenggara,” katanya.
GSP ditubuhkan pada Januari 2025 sebagai syarikat tujuan khas (SPV) bagi mengendalikan keseluruhan skop projek termasuk reka bentuk, kejuruteraan, perolehan, pembinaan serta penyelenggaraan loji tersebut.
Pembangunan loji solar ini dijangka membantu mengurangkan pergantungan Semenanjung Malaysia terhadap bahan api fosil, selain merangsang pembangunan sosial dan ekonomi di peringkat tempatan. – UTUSAN










