Pasaran modal Malaysia cecah RM4.3 trillion pada 2025

Pasaran modal Malaysia cecah RM4.3 trillion pada 2025

MOHAMMAD Faiz Azmi (tengah) bergambar selepas sidang media Pelancaran Laporan Tahunan 2025 (AR2025) di Suruhanjaya Sekuriti semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasaran modal Malaysia berkembang 3.2 peratus kepada paras rekod RM4.3 trilion pada 2025, berbanding RM4.2 trilion pada tahun sebelumnya, disokong peningkatan terbitan bon korporat serta aliran masuk dalam industri pengurusan dana.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, pasaran modal Malaysia terus menunjukkan daya tahan walaupun berdepan persekitaran global yang tidak menentu.

“Prestasi 2025 mencerminkan kekuatan asas pasaran modal Malaysia.

“Dengan mengimbangi pembangunan pasaran dan menjaga integriti, SC terus menyediakan persekitaran yang stabil serta inovatif kepada semua pihak berkepentingan,” katanya pada sidang media Pelancaran Laporan Tahunan 2025 (AR2025) SC, di sini, semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata, purata nilai dagangan harian pasaran ekuiti susut 19.7 peratus kepada RM2.76 bilion pada 2025, berbanding RM3.44 bilion pada 2024, berikutan sentimen pelabur yang lebih berhati-hati.

Sementara itu, SC sendiri merekodkan kerugian bersih RM85 juta bagi tahun kewangan 2025, meningkat berbanding kerugian RM2.1 juta pada 2024.

Mohammad Faiz berkata, SC merekodkan prestasi baik dengan mencapai keuntungan pada suku tahun pertama 2026, sebahagian daripadanya susulan semakan semula fi perkhidmatan pasaran modal berkuatkuasa 1 Januari 2026.

Beliau berkata, SC mengambil maklum pergolakan pasaran susulan ketidaktentuan global, geopolitik dan gangguan teknologi.

“Namun, dengan Pelan Induk Pasaran Modal 2026 hingga 2030 yang berpandangan ke hadapan, SC optimis pasaran modal Malaysia akan terus berada di landasan dalam melaksanakan pembaharuan.

“Selain itu, usaha turut tertumpu kepada meningkatkan daya saing dan keterangkuman, memperkukuh tadbir urus serta menambah baik perlindungan pelabur,” ujarnya.

Menurut laporan itu, pasaran modal Islam kekal kukuh apabila berkembang 4.31 peratus kepada RM2.7 trilion pada 2025.

Aset di bawah pengurusan industri pengurusan dana pula meningkat 6.9 peratus kepada rekod RM1.14 trilion, didorong pulangan lebih baik sekuriti pendapatan tetap serta penilaian yang lebih tinggi.

Selain itu, jumlah dana yang diperoleh melalui pasaran modal melonjak 35.4 peratus kepada RM187.7 bilion.

Dalam pada itu, sebanyak 60 penyenaraian awam awal (IPO) direkodkan pada 2025, meningkat berbanding 55 pada tahun sebelumnya.

Jumlah dana komited dalam industri modal teroka dan ekuiti persendirian pula naik 21.66 peratus kepada RM30.05 bilion.

Sementara itu, saluran pembiayaan alternatif terus memudahkan pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta syarikat pertengahan (MTC) dengan RM5.7 bilion berjaya diperoleh pada 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×