NEW YORK: Iran pada Selasa menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk mengutuk tindakan Amerika Syarikat (AS) merampas sebuah kapal kargo miliknya, sambil menyifatkan langkah tersebut sebagai tindakan lanun dan pencabulan terhadap perjanjian gencatan senjata antara Teheran dan Washington.
Presiden AS, Donald Trump pada Ahad mengumumkan tentera laut negara itu melepaskan tembakan sebelum mengambil alih kawalan kapal kargo Touska di Laut Oman.
Trump mendakwa, kapal yang mengibarkan bendera Iran itu tertakluk di bawah sekatan ekonomi AS.
Duta Besar Iran ke PBB, Amir Saeid Iravani dalam suratnya kepada Majlis Keselamatan dan Setiausaha Agung pada Selasa berkata, perbuatan tersebut merupakan satu peningkatan ketegangan yang berbahaya dan mengancam keselamatan laluan perkapalan penting.
“Tindakan tersebut jelas mempunyai ciri-ciri pelanunan dan merupakan satu bentuk provokasi berbahaya. Malah, perbuatan menyalahi undang-undang ini merupakan pencabulan nyata terhadap gencatan senjata bertarikh 8 April 2026 dan diklasifikasikan sebagai tindakan pencerobohan di bawah piagam PBB,” jelas Iravani.
Beliau turut mendesak PBB agar mengutuk rampasan berkenaan serta menuntut pembebasan segera kapal tersebut.
Dalam pada itu, Trump menerusi platform Truth Social miliknya pada Selasa memaklumkan bahawa beliau sedang melanjutkan tempoh gencatan senjata dengan Iran bagi memberi lebih ruang kepada rundingan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa tentera laut AS akan terus mengekalkan sekatan maritim terhadap pelabuhan-pelabuhan negara berkenaan.
Mengulas lanjut mengenai insiden tersebut, Trump menyatakan bahawa kapal Touska dirampas selepas gagal memberikan maklum balas terhadap amaran untuk berhenti.
“Krew Iran enggan mendengar arahan, jadi kapal Tentera Laut kita telah menghentikan mereka serta-merta dengan melepaskan tembakan ke arah bilik enjin,” tambah beliau. -AFP










