LONDON: Britain menjadi tuan rumah rundingan ketenteraan dua hari bermula Rabu melibatkan 30 negara bagi memperincikan misi diterajui bersama United Kingdom (UK)-Perancis dalam melindungi laluan perkapalan di Selat Hormuz.
Kementerian Pertahanan Britain dalam satu kenyataan memaklumkan mesyuarat tersebut bertujuan untuk memperincikan perancangan bagi pembukaan semula selat strategik itu apabila keadaan mengizinkan, susulan kemajuan yang dicapai dalam rundingan di Paris minggu lalu.
“Tugas hari ini dan esok adalah untuk menterjemahkan konsensus diplomatik kepada satu pelan bersama bagi memelihara kebebasan navigasi di Selat itu serta menyokong gencatan senjata yang berterusan,” kata Menteri Pertahanan, John Healey.
Beliau turut menyatakan keyakinan kemajuan mampu dicapai melalui persidangan tersebut.
Persidangan itu menyusul selepas Perdana Menteri Britain, Keir Starmer dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron mempengerusikan rundingan antarabangsa mengenai selat strategik tersebut di Paris pada Jumaat lalu, yang dihadiri oleh lebih 40 buah negara.
Britain dan Perancis menegaskan pasukan tentera yang dibentuk itu akan bersifat pertahanan sepenuhnya dan hanya akan dikerahkan sebaik sahaja keamanan yang kekal di wilayah tersebut dipersetujui.
Bagaimanapun, Amerika Syarikat (AS) dan Iran selaku pihak yang sedang berkonflik tidak menghadiri rundingan berkenaan.
Gencatan senjata selama dua minggu antara AS dan Iran sepatutnya berakhir pada tengah malam Selasa, namun Presiden AS Donald Trump mengumumkan pelanjutan tempoh tersebut sejurus sebelum tamat tempoh bagi memberi lebih masa kepada proses rundingan.
Bagaimanapun, kedua-dua pihak saling menuduh berlaku pencabulan syarat dan Trump menegaskan beliau akan terus mengekalkan sekatan ketenteraan laut AS terhadap pelabuhan-pelabuhan Iran.
Persidangan perancangan ketenteraan ini berlangsung di Markas Bersama Tetap (PJHQ) di barat laut London yang merupakan pusat arahan utama UK bagi memantau dan menguruskan operasi ketenteraan bersama. -AFP









