MUAR: Taktik licik sindiket penipuan ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pegawai insurans dan penguat kuasa memerangkap seorang lelaki hingga mengalami kerugian RM273,600.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, mangsa berusia 48 tahun yang bekerja sebagai Penolong Pesuruhjaya Bangunan, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mula menerima panggilan mencurigakan pada pukul 10 pagi, 24 Disember tahun lalu.
Menurutnya, individu terbabit pada awalnya menyamar sebagai kakitangan insurans daripada Etiqa Takaful dan mendakwa mangsa terlibat dalam tuntutan pembedahan palsu.
“Panggilan kemudian disambungkan kepada suspek lain yang menyamar sebagai pegawai polis dan Timbalan Pendakwa Raya bagi meyakinkan mangsa bahawa dia terlibat dalam kes jenayah.
“Mangsa diarah membuat pinjaman peribadi, menyerahkan maklumat perbankan serta melakukan beberapa transaksi kononnya bagi tujuan siasatan dan jaminan kes,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata, transaksi pertama dilakukan pada 5 Januari lalu melibatkan jumlah RM45,000 sebelum diikuti beberapa lagi pemindahan wang simpanan termasuk pinjaman bank pada 30 Januari lalu melibatkan wang berjumlah RM273,600.
“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas mendapati wang dalam akaunnya berkurangan sebelum tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pada pukul 12.31 tengah hari, pada 21 April lalu.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap panggilan telefon mencurigakan yang menyamar sebagai pihak berkuasa atau institusi kewangan,” katanya sambil memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN











