KUALA LUMPUR : Ketua Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM136,115 dua tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Datuk Hazri Hassan, 57, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai seorang penjawat awam, iaitu Ketua Pengarah Jupem dan Pengerusi Lembaga Jurukur Tanah Malaysia (LJT) telah menggunakan kedudukan sebagai Pengerusi LJT untuk suapan iaitu dana LJT berjumlah RM30,201.16 untuk diri sendiri dengan mengambil bahagian di dalam Mesyuarat Lembaga LJT.
Mesyuarat itu telah membincangkan tentang penyertaannya dalam ‘Sesi ke-14 Jawatankuasa Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pengurusan Maklumat Geospatial Global (UN-GGIM)’ di New York, Amerika Syarikat pada 4 hingga 9 Ogos 2024.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Lembaga, Aras 7, Wisma LJT, Lorong Perak, Pusat Bandar Melawati, di sini, pada 3 Ogos 2024.
Pertuduhan kedua pula, Mohd. Hazri dengan pangkat dan jawatan sama didakwa telah menggunakan kedudukan untuk suapan iaitu dana LJT berjumlah RM105,914 untuk diri sendiri dengan mengambil bahagian di dalam Mesyuarat Lembaga LJT.
Mesyuarat itu membincangkan tentang penyertaan dirinya di dalam ‘Mesyuarat LJT dan Jupem bersama Prof. Dr. Shaikh Mohamed Zaffar Sadiq Mohamed Ghouse yang merupakan Naib Presiden dan Pengarah Penasihat & Inovasi Woolpert.
Selain penyertaan dalam Mesyuarat Pleno ke-5 Kumpulan Peringkat Tinggi Rangka Kerja Maklumat Geospatial Bersepadu serta Mesyuarat Biro dan Biro Diperluas bagi Jawatankuasa Pakar di Madinah dan Jeddah, Arab Saudi pada 29 Januari hingga 4 Februari 2025.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik Park View 2, Mandarin Oriental Hotel, pada 31 Disember 2024.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib manakala tertuduh diwakili oleh peguam bela, Muhammad Amin Othman.
Terdahulu, Ahmad Akram berkata, kedua-dua pihak bersetuju dengan jumlah jaminan RM70,000 dan dibayar secara berperingkat serta syarat pasport diserahkan kepada mahkamah.
Hakim kemudian membenarkan jumlah jaminan itu dengan seorang penjamin dan dibayar selama dua hari iaitu RM50,000 pada hari ini dan RM20,000 pada Jumaat ini seperti dimohon peguam bela.
Mahkamah kemudian menetapkan 4 Jun ini sebagai tarikh sebutan bagi serahan dokumen. – UTUSAN











