Institusi tempatan pacu pembelian di Bursa Malaysia

Institusi tempatan pacu pembelian di Bursa Malaysia

BURSA Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran ekuiti Malaysia terus positif menjelang tamatnya gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang dijadualkan pada Rabu, dipacu oleh  pembelian institusi tempatan walaupun pelabur asing mengambil untung dan menjual.

Pada 5 petang semalam, Bursa Malaysia ditutup tinggi 13.03 mata kepada 1,715.33 berbanding 1,702.30 penutupan semalam.

FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBM KLICI) dibuka tinggi pada 1,702.61 dan mencatatkan paras tertinggi sebanyak 1,716.64 dalam sesi dagangan.

Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, pasaran saham yang meningkat disokong oleh pembelian institusi tempatan walaupun pelabur asing mengambil untung dan menjual.

Katanya, momentum jangka pendek ini kekal positif dan diunjurkan terus meningkat dalam masa terdekat. 

“Bursa dianggarkan bergerak dalam julat 1,720 mata atau lebih rendah bergantung kepada pelabur asing sama ada akan memberhentikan jualan dan mula kembali ke pasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, sentimen yang mendorong peningkatan ini ialah daripada kesan geopolitik yang tidak banyak berubah. 

“Belian berterusan berkaitan dengan saham permodalan yang besar seperti bank-bank dan utiliti serta sektor kesihatan. Kaunter-kaunter ini memberi kesan yang tinggi kepada FBMKLCI. 

“Sentimen pasaran serantau turut menunjukkan peningkatan yang baik.  Jadi ini menunjukkan trend yang seiringan” katanya.  

Sementara itu, Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd. Sedek Jantan berkata, pasaran kini tidak lagi dipacu oleh keyakinan terarah, sebaliknya dibentuk oleh hakisan kepercayaan ekoran perkembangan di Selat Hormuz yang mencetuskan ketidakseimbangan masa dalam reaksi pasaran.

Beliau menjelaskan, pembukaan semula Selat Hormuz berlaku selepas pasaran Asia ditutup pada Jumaat lalu, menyebabkan Malaysia terlepas peluang untuk mengimbangi kerugian dengan rali pemulihan yang dinikmati pasaran AS.

“Malaysia dan rantau ini kini terdedah sepenuhnya kepada kesan negatif susulan pembalikan arah pada hujung minggu tanpa sempat meraih keuntungan daripada perkembangan positif sebelum ini. Ini mewujudkan penemuan harga yang bersifat reaktif,” ujarnya.

Menurut Mohd Sedek, bukti keletihan pasaran dapat dilihat melalui kenaikan harga minyak mentah Brent yang menghampiri AS$95 (RM375.65) setong, mencerminkan premium risiko geopolitik yang diperbaharui melibatkan koridor yang mengendalikan 20 peratus aliran tenaga global.

“Perbezaan ini adalah signifikan. Biasanya harga minyak yang lebih kuat dan dolar yang kukuh akan memacu hala tuju pasaran yang lebih jelas, namun ekuiti tidak bertindak balas dengan keyakinan.

“Ini bukan pasaran yang sedang mencari arah, tetapi pasaran yang secara aktif mengelak daripada membuat komitmen. Kekuatan pasaran sering dijual semula oleh pedagang, menunjukkan bahawa kenaikan sementara baru-baru ini sudah mula kehabisan momentum.” jelas beliau.

Tambahnya, selera risiko pelabur kini dilihat semakin pudar di mana momentum kenaikan yang diperhatikan pada indeks FBM70 dan FBM Small Cap minggu lalu juga gagal dipertahankan.

Mohd Sedek turut memberi amaran bahawa pasaran tidak akan kembali kepada keadaan normal dalam masa terdekat, sebaliknya berada dalam keseimbangan yang rapuh akibat risiko luaran yang berterusan.

“Walaupun harga minyak yang tinggi mungkin memberi sokongan terpilih kepada ekuiti berkaitan tenaga dalam FBM KLCI, kesan luasnya lebih kompleks kerana kos tenaga yang tinggi mengukuhkan ketidaktentuan inflasi dan mungkin melambatkan kitaran pelonggaran kadar faedah global.

“Ekuiti Malaysia berkemungkinan akan kekal dalam julat terhad dengan kecenderungan defensif. Tanpa pemangkin hala tuju yang jelas dan kredibel, sebarang kenaikan harga dijangka bersifat singkat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×