Jabatan Muzium berjaya digitalkan 255 koleksi warisan sejarah

Jabatan Muzium berjaya digitalkan 255 koleksi warisan sejarah

Pegawai polis jatuh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak RM450,000 diperuntukkan bagi melaksanakan program Pendigitalan Koleksi dan Pameran Muzium Alam Semula Jadi bagi menghargai budaya dan warisan alam semula jadi dalam negara.

Inisiatif itu merupakan langkah strategik Jabatan Muzium Malaysia (JMM) bagi mengintegrasikan teknologi terkini seperti Realiti Terimbuh (AR) dan Realiti Maya (VR) dalam sektor permuziuman negara.

Pengarah Jabatan Muzium Alam Semulajadi, Mohd Khairil Jemangin berkata, kos keseluruhan diperuntukkan berjumlah RM450,000 bagi menampung kos kepakaran, peralatan yang digunakan selain membantu menambahbaik sistem pendigitalan yang digunakan.

Katanya, beberapa spesimen bersejarah telah dipilih dan berjaya didigitalkan termasuk artifak yang mempunyai nilai sejarah tinggi bagi memastikan nilai sejarah kekal terjaga sekiranya berdepan sebarang risiko pada masa hadapan.

“Selain itu, setiap spesimen yang didigitalkan rata-ratanya mempunya nilai sejarah yang tinggi bagi negara kita contohnya, badak sumbu Sumatera yang telah pupus selain terdapat artifak ikonik seperti Patung Avolokiteshvara yang merupakan Objek Warisan Kebangsaan.

“Setakat ini, sebanyak 255 koleksi telah berjaya didigitalkan merangkumi 135 koleksi etnologi serta 120 koleksi alam semula jadi dihasilkan melalui imbasan digital 3D daripada spesimen asal yang diawet,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sebelum ini, JMM di bawah Kementerian Perpaduan Negara secara rasmi telah melancarkan Program Pendigitalan Koleksi dan Pameran Maya Muzium Alam Semulajadi yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Usaha itu dilaksanakan di bawah peruntukan RMK-12 Rolling Plan 5 (RP5) merangkumi pembangunan pameran maya, pendigitalan koleksi, serta latihan teknikal bagi kakitangan dalaman.

Selain itu, pameran maya tersebut menawarkan pengalaman imersif melalui lapan segmen utama merangkumi naratif sejarah pengumpulan spesimen sejak 1880-an, segmen kepelbagaian biodiversiti seperti mamalia dan hidupan marin, serta elemen interaktif yang membolehkan pengunjung menonton video kaedah pengawetan dan menguji kefahaman melalui kuiz. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×