PETALING JAYA: Kelompongan yang wujud dalam terma ‘pemulangan dan bayaran balik’ (return & refund) ditawarkan oleh platform e-dagang telah dimanipulasi pelanggan untuk mendapatkan barangan yang dihajati tanpa perlu mengeluarkan satu sen pun dari poket mereka.
Return & refund yang sepatutnya bertujuan melindungi hak pengguna daripada isu penipuan seperti barangan dihantar tidak seperti diiklankan, kini menjadi beban kepada penjual terutama peniaga kecil.
Ini kerana pembeli yang memohon kemudahan itu akan memperoleh semula bayaran yang telah dibuat secara automatik, sebaik sahaja barang yang ingin dipulangkan diterima ejen kurier.
Pengasas jenama pakaian tempatan Hijabistahub, Ahmad Syafiq Hilmi, 34, berkata, kira-kira 100 daripada 5,000 parcel yang dipulangkan sepanjang musim Hari Raya Aidilfitri tahun ini bukan produk mereka, sebaliknya berupa ‘sampah’.
Beliau berkata, antara barangan yang diterima termasuk pakaian lusuh, kain buruk, tudung kotor dan kotak kosong.
Katanya, peningkatan trend sedemikian dikesan sejak tahun lalu, namun situasi menjadi semakin serius menjelang perayaan dengan jumlah pemulangan meningkat secara drastik.
“Sistem refund sememangnya dibenarkan dan kami tiada masalah mengenainya tetapi apabila pelanggan memulangkan barangan yang bukan kami hantar, ia satu perbuatan yang tidak wajar malah boleh dianggap jenayah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ahmad Syafiq berkata, anggaran kerugian ditanggung syarikatnya sepanjang sambutan lebaran lalu melebihi RM50,000.
“Masalah ini berlaku disebabkan kelemahan sistem platform e-dagang yang lebih memihak kepada pembeli berbanding penjual. Jika tiada tindakan diambil, isu ini boleh menjadi lebih berleluasa.
“Pihak kami turut menanggung kos penghantaran dua hala iaitu penghantaran kepada pelanggan dan pemulangan semula kepada syarikat.” katanya.
Baru-baru ini, tular di media sosial pendedahan dibuat seorang penghantar barang yang sedang melakukan kerja-kerja mengutip parcel berstatus return.
Semakan dilakukannya terhadap nombor penjejakan salah satu parcel menunjukkan bahawa barangan yang sepatutnya dipulangkan adalah set pinggan mangkuk, namun bungkusan yang diterima amat kecil tidak seperti sepatutnya.
Sementara itu, pengasas Mycaftan.co, Khairina Fatiah, 27, berkata, syarikatnya turut berdepan situasi sama apabila menerima pemulangan seperti pakaian dalam, kopi tiga dalam satu dan barangan lain yang tidak berkaitan dengan produk dijual.
“Kerugian dianggarkan hampir RM10,000 dan jumlah itu sangat besar bagi perniagaan kecil seperti kami. Kami juga terpaksa menanggung pelbagai kos termasuk pembungkusan dan caj tersembunyi platform,” katanya.
Khairina berkata, tempoh refund yang panjang serta polisi yang lebih memihak kepada pembeli memberi ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.
“Walaupun kami membuat rayuan dengan bukti, tidak semua kes berjaya. Ada pelanggan yang menggunakan barang itu dan kemudian memulangkannya semula,” katanya. – UTUSAN










