PETALING JAYA: Kebergantungan yang semakin meningkat terhadap beras import berisiko menyebabkan Malaysia kehilangan kawalan terhadap harga dan bekalan makanan ruji itu.
Pensyarah Jabatan Perniagaantani dan Ekonomi Biosumber, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Norsida Man berkata, perubahan dalam pasaran global akan terus mempengaruhi harga domestik sekiranya pengeluaran padi tempatan terus merosot.
Katanya, peningkatan kebergantungan terhadap beras import bukan sahaja menjejaskan keterjaminan makanan negara malah berpotensi memburukkan defisit perdagangan Malaysia.
“Dana yang sepatutnya dilaburkan untuk pembangunan infrastruktur mungkin terpaksa dialihkan bagi membiayai import makanan.
“Pengalaman krisis harga beras global pada 2008 dan 2023 membuktikan betapa rapuhnya kebergantungan kepada pasaran luar apabila negara pengeksport mengenakan sekatan dan enggan menjual beras mereka kepada Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Baru-baru ini, akhbar ini melaporkan, Kadar Sara Diri (SSR) padi negara terjejas sekiranya 30 peratus daripada 200,000 petani tidak mengerjakan sawah akibat peningkatan kos operasi.
Mengulas lanjut, Norsida berkata, kerajaan disaran mempertimbangkan mekanisme harga lantai padi yang lebih fleksibel dan responsif mengikut kos pengeluaran sebenar bagi memastikan kelangsungan industri padi negara.
Katanya, pendekatan tersebut perlu disokong melalui subsidi bersasar kepada kos input serta usaha meningkatkan produktiviti tanaman padi.
“Sekiranya hasil sehektar dapat ditingkatkan daripada empat tan kepada enam tan, pendapatan pesawah akan bertambah walaupun harga lantai hanya RM1,800.
“Kaedah ini boleh bertahan mengimbangi kepentingan pesawah tanpa membebankan pengguna dan kedudukan fiskal negara. Namun masalah yang dihadapi oleh industri padi tidak dapat diselesaikan dengan satu dasar sahaja.
“Kerajaan perlu melaksanakan pakej bersepadu iaitu mengawal kos input melalui subsidi bersasar, menjamin pendapatan pesawah melalui harga lantai yang realistik dan bersesuaian serta membantu pesawah meningkatkan produktiviti melalui skala ekonomi dan penggunaan teknologi,” katanya.
Menurut Norsida, kemerosotan pengeluaran padi tempatan akan mengheret negara kepada krisis sekuriti makanan yang lebih parah justeru intervensi struktur mesti diutamakan.
“Cadangan harga lantai RM3,000 per tan metrik wajar difahami sebagai isyarat bahawa model sedia ada tidak lagi boleh bertahan tetapi pelaksanaannya perlu berperingkat dan diiringi reformasi kos serta hasil.-UTUSAN.











