KUALA LUMPUR: Dasar subsidi bahan api yang kini dinikmati rakyat tidak akan berdepan sebarang perubahan mendadak, meskipun Malaysia turut dihimpit tekanan ekonomi akibat ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.
Kerajaan memberi jaminan keputusan berkaitan subsidi tidak akan dibuat secara terburu-buru tanpa penelitian data yang menyeluruh.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan menyedari perang antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan Iran berpotensi berlarutan hingga satu atau dua tahun yang memerlukan setiap langkah diambil memberi keutamaan kepada perlindungan kepentingan rakyat.
“Jadi, ini sudah pasti cabaran yang kita tahu dan dari situlah kita kena melihat pada data apa yang perlu kita laksanakan untuk memastikan bekalan tenaga kita terjamin, rakyat akan terlindung, pertumbuhan ekonomi terus berkembang, pihak industri dibantu mengikut apa yang dilakukan sekarang ini,” katanya.
Fadillah berkata demikian ketika menjadi tetamu Bernama Radio, membincangkan topik ‘Krisis Geopolitik Pacu Peralihan Tenaga Malaysia’, semalam.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, perancangan pembangunan ekonomi negara juga akan dipastikan berjalan seperti sepatutnya, meskipun kos subsidi bulanan melonjak sekitar RM6 bilion hingga RM7 bilion.
Katanya, walaupun krisis tenaga global merupakan antara gangguan terbesar dalam sejarah dunia, ia tidak bermakna kerajaan terpaksa berhenti meneruskan bantuan kepada rakyat.
“Dasar subsidi sedia ada, termasuk bagi petrol RON95 dan diesel di Sabah dan Sarawak akan terus dikekalkan mengikut keperluan data semasa bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan kos sara hidup secara mendadak,” katanya.
Fadillah berkata, Jawatankuasa Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sentiasa mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak bagi merangka strategi yang seimbang sebelum menyusun dasar.
“Pertama sekali, bagaimana pihak terkesan ini akan dibantu? Apa program dan perancangan kerajaan untuk membantu meringankan supaya ekonomi kita akan terus berkembang, rakyat terus dibantu dan tidak berlaku misal kata pemberhentian pekerja (retrenchment), ini semua dilihat secara holistik,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri turut menyentuh keperluan mempersiapkan negara dan rakyat dengan senario terburuk, sekiranya krisis berlarutan hingga tiga tahun.
Katanya, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) telah mengambil langkah proaktif mencari sumber bekalan alternatif dari Asia Pasifik, Australia, Amerika Selatan dan Afrika demi keterjaminan bekalan dalam negara.
Menurutnya, aspek penguatkuasaan juga perlu diperkukuh bagi membanteras ketirisan dan penyeludupan bahan khususnya di sempadan.
“Ini tidak dapat dilaksanakan oleh kerajaan atau agensi penguat kuasa sahaja, melainkan dengan penglibatan seluruh rakyat. Kalau ada orang menyalahgunakan, maklumkan supaya kita dapat memastikan bekalan untuk rakyat kita, bukan untuk dijual kepada negara lain.
“Lebih penting juga, gunakan tenaga dan air secara berhemat. Kalau ini kita dapat laksanakan bersama, maka kita akan dapat pastikan keterjaminan bekalan itu dapat dilanjutkan dan dipanjangkan hayatnya,” katanya. – UTUSAN











