Penubuhan negara Palestin merdeka perlu disegera

Penubuhan negara Palestin merdeka perlu disegera

DR. MOHAMMAD Mustafa ketika mesyuarat ke-9 Perikatan Global bagi Pelaksanaan Penyelesaian Dua Negara di Brussel, Jerman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Komuniti antarabangsa digesa menghentikan pendekatan lama yang sekadar ‘mengurus konflik’ Palestin, sebaliknya bertindak segera membuka laluan jelas ke arah penubuhan negara Palestin merdeka.

Perdana Menteri Palestin, Dr. Mohammad Mustafa berkata, dunia kini berada di persimpangan kritikal antara meneruskan kitaran peperangan atau membina keamanan berkekalan berasaskan penyelesaian dua negara.

“Perang tidak menghasilkan keamanan, sekatan tidak menjamin keselamatan dan pendudukan tidak membawa kestabilan. Hanya penyelesaian politik yang adil mampu mengubah keadaan.

“Situasi di Gaza bukan sekadar isu kemanusiaan, tetapi merupakan sebahagian tidak terpisahkan daripada negara Palestin yang mesti dipulihkan di bawah pentadbiran sah,” katanya dalam mesyuarat ke-9 Perikatan Global bagi Pelaksanaan Penyelesaian Dua Negara di Brussel, Jerman yang dikongsikan kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Katanya, pelaksanaan Resolusi 2803 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu menjadi asas untuk menstabilkan Gaza, memulihkan pentadbiran serta menyatukannya semula dengan Tebing Barat.

Dalam pada itu, Palestin bersedia melaksanakan pelan peralihan termasuk memulihkan undang-undang dan ketenteraman, menyediakan semula perkhidmatan asas serta menyelaras usaha pembinaan semula dengan kerjasama antarabangsa.

Beliau berkata, keperluan membentuk satu kerangka keselamatan menyeluruh, termasuk pengumpulan senjata secara berperingkat dan pembinaan struktur keselamatan tunggal di bawah kuasa sah.

“Keselamatan tidak boleh berpecah-belah, sebaliknya mesti berasaskan institusi yang sah, bertanggungjawab dan berteraskan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohammad memberi amaran tindakan Israel termasuk peluasan penempatan dan keganasan peneroka semakin menjejaskan kestabilan serta menggugat penyelesaian dua negara.

Beliau berkata, krisis ekonomi Palestin juga semakin meruncing susulan penahanan hasil cukai dan sekatan kewangan, sekali gus melemahkan institusi serta kepercayaan rakyat.

“Keamanan tidak akan bertahan tanpa laluan politik yang jelas. Dunia mesti bertindak untuk menamatkan pendudukan dan merealisasikan negara Palestin merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×