PETALING JAYA: Perdagangan di rantau Asia Barat mencatatkan penurunan ketara sebanyak 30.4 peratus atau RM21.41 bilion pada suku pertama 2026, menjadikan negara ini tidak terkecuali daripada tempias daripada konflik yang melanda rantau itu.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, penurunan ini turut disebabkan oleh kejatuhan eksport sebanyak 23.6 peratus (RM9.87 bilion) pada tempoh yang sama.
Katanya, ini didorong oleh pengurangan permintaan terhadap komoditi utama seperti minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit, barangan elektrik dan elektronik (E&E), barang kemas serta keluaran petroleum.
“Namun begitu, perkembangan negatif tersebut berjaya diimbangi oleh pertumbuhan eksport yang kukuh ke pasaran bukan konflik, khususnya di Afrika, Amerika Latin dan Asia Tengah.
“Peningkatan ini banyak disokong oleh permintaan berterusan terhadap minyak sawit dan produk berkaitan, sekali gus menekankan kepentingan strategi kepelbagaian pasaran dalam mengurangkan kebergantungan kepada rantau berisiko tinggi.
“Secara keseluruhan, perdagangan Malaysia dengan Asia Barat hanya merangkumi sekitar 2.7 peratus daripada jumlah perdagangan negara. Justeru, kesan langsung daripada gangguan di rantau itu dilihat terhad,” katanya kepada pemberita selepas taklimat mengenai prestasi perdagangan bagi suku pertama di sini, semalam.
Reezal Merican berkata, kesan tidak langsung seperti kenaikan harga global, peningkatan kos logistik serta premium risiko perang boleh menjejaskan daya saing eksport Malaysia dalam jangka sederhana.
“Kebimbangan turut tertumpu kepada kepentingan strategik Selat Hormuz, laluan maritim utama yang menghubungkan Teluk Parsi ke lautan terbuka.
“Laluan ini dianggarkan mengendalikan kira-kira 20 juta tong minyak sehari, bersamaan 25 peratus perdagangan minyak global, selain lebih 30 peratus perdagangan baja dunia.
“Sebarang gangguan di kawasan ini berpotensi memberi kesan besar kepada kestabilan rantaian bekalan global,” katanya.
Menurut maklumat terkini daripada pejabat luar negara agensi perdagangan Malaysia, sebanyak tujuh pelabuhan utama telah terjejas akibat konflik tersebut.
“Antaranya termasuk pelabuhan di Qatar (Al Shaheen dan Halul Island), Bahrain (Terminal Minyak BAPCO), Kuwait (Pelabuhan Shuaiba dan Shuwaikh), Iraq (Terminal Minyak Basrah) serta Oman (Mina Al Fahal).
“Gangguan ini secara langsung memberi tekanan kepada aliran perdagangan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, beberapa laluan alternatif telah dikenal pasti bagi mengurangkan impak daripada konflik tersebut.
“Antaranya ialah projek Saudi Landbridge yang menghubungkan Jeddah Islamic Port ke bandar utama seperti Riyadh, Dammam dan Tabuk melalui darat. Selain itu, pelabuhan Salalah dan Sohar di Oman dicadangkan sebagai hab alternatif bagi penghantaran ke Teluk Parsi,” katanya.
Sebagai pilihan tambahan, laluan rel Middle Corridor yang menghubungkan China ke Eropah melalui Türkiye turut dipertimbangkan, walaupun kosnya dianggarkan melebihi 100 peratus berbanding laluan maritim konvensional.
“Situasi geopolitik yang tidak menentu ini, keupayaan Malaysia untuk menyesuaikan strategi perdagangan dan memperluas pasaran eksport akan menjadi faktor penting dalam memastikan daya tahan ekonomi negara terus kukuh,” katanya. – UTUSAN










