SINGAPURA: Ketua agensi maritim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa merayu bantuan untuk ribuan kelasi yang terkandas di Selat Hormuz, ketika perang di Asia Barat melumpuhkan laluan perkapalan penting itu.
Kira-kira 20,000 kelasi dan 2,000 kapal telah terkandas di laluan tersebut sejak serangan AS-Israel ke atas Iran pada 28 Februari yang mencetuskan perang, menurut Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO).
Sekitar satu perlima daripada minyak mentah dan gas asli cecair dunia biasanya melalui selat itu.
Setiausaha Agung IMO, Arsenio Dominguez memberitahu satu persidangan maritim di Singapura pada Selasa bahawa kelasi yang terkandas sedang mengalami tekanan dan keletihan.
“Kita perlu tahu segala yang mereka sedang lalui,” katanya.
Dominguez menggesa syarikat perkapalan menyediakan sokongan jarak jauh kepada kelasi, termasuk dalam aspek kesihatan mental.
Beliau berkata, beberapa negara telah mewujudkan talian bantuan 24 jam untuk kelasi, manakala negara lain menyediakan bekalan makanan kepada mereka.
Namun, lebih banyak boleh dilakukan pada peringkat peribadi, seperti menghubungi kelasi secara proaktif supaya mereka berasa kurang terasing.
Aktiviti perkapalan masih terhad di selat itu ketika Amerika Syarikat (AS) dan Iran masing-masing memberi amaran bahawa mereka bersedia untuk berperang, manakala masa terus berjalan ke arah tamatnya gencatan senjata yang dijadualkan berakhir pada Rabu. – AFP{










