Kelantan tidak bercadang laksana BDR

Kelantan tidak bercadang laksana bekerja dari rumah

MOHAMED FADZLI HASSAN 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan tidak bercadang melaksanakan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) terhadap kakitangannya buat masa ini dan memilih untuk meneliti keperluan semasa serta melihat pengalaman pihak-pihak yang telah melaksanakannya.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, perkara tersebut juga belum dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan setakat ini.

Katanya, jika berasakan ada keperluan atau setelah melihat prestasi kerja mana-mana pihak yang melaksanakan BDR tidak terjejas, kerajaan negeri terbuka membuat kajian untuk turut melaksanakannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“BDR bukan perkara baharu di Malaysia dan pernah dilaksanakan semasa penularan Covid 19 pada tahun 2020 sehingga 2021. Sepanjang krisis kenaikan harga diesel akibat ketegangan kian memuncak dalam krisis Asia Barat, banyak syarikat swasta melaksanakannya.

“Maknanya, jika kita (kerajaan negeri) melaksanakan BDR suatu masa nanti, ia bukanlah sesuatu yang luar biasa,” katanya selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan itu berkata, pihaknya menyedari krisis kenaikan harga diesel yang tidak menampakkan bayang penurunan adalah sangat membebankan bagi semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan sendiri.

Katanya, beliau dimaklumkan oleh Pegawai Kewangan Negeri Kelantan, Datuk Rosnazli Amin bahawa sebuah kenderaan diesel memerlukan belanja sehingga RM500 bagi satu trip perjalan dari Kota Bharu ke Gua Musang termasuk untuk memasuki hutan dan sebagainya.

“Ia merupakan satu perbelanjaan yang sangat besar dan menjadi beban kepada kerajaan negeri. Mungkin kita perlu minta Kerajaan Persekutuan melihat kembali isu beban diesel kepada kerajaan-kerajaan negeri di negara ini.

“Bagaimanapun dasar BDR tidak boleh dilaksanakan bagi keseluruhan kakitangan awam kerana bangunan kerajaan tidak boleh kosong. Mungkin kita akan melaksanakannya secara berperingkat, sebahagian atau secara pertukaran giliran,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan setakat ini negeri-negeri yang telah melaksanakan BDR adalah Kedah, Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Pahang dan Perak, manakala Melaka, Perlis, Kelantan serta Johor belum melaksanakan BDR. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini