PETALING JAYA: Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) menyerbu dua premis pemprosesan kayu di Kampung Sirako, Pulai, Baling kerana disyaki menjalankan aktiviti pemprosesan kayu tanpa lesen membabitkan nilai rampasan RM1.3 juta semalam.
Komandernya , Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata, operasi itu dilaksanakan Cawangan Risik PSP Bukit Aman Zon Utara bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Kulim dan Majlis Daerah Baling melaksanakan di sebuah premis pemprosesan kayu di Kampung Sirako, Pulai, Baling.
Menurutnya, operasi yang dijalankan pada pukul 10.15 pagi itu adalah hasil maklumat risikan yang mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti memotong dan memproses kayu getah.
“Pemeriksaan lanjut mendapati pihak premis gagal mengemukakan lesen sah daripada Majlis Daerah Baling bagi menjalankan aktiviti perniagaan tersebut.
“Seorang lelaki tempatan yang juga penyelia premis diperiksa manakala pemilik premis dikenakan tindakan kompaun oleh pihak Majlis Daerah Baling mengikut Undang-Undang Kecil Perlesenan Perdagangan dan Perusahaan (PBT) Negeri Kedah 1985,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rosli berkata, turut ditemukan di lokasi adalah pelbagai jentera dan bahan berkaitan termasuk mesin pemotong kayu, jentera berat, kenderaan serta longgokan kayu getah dan hasil sampingan dengan jumlah dianggarkan RM728,000.
“Satu lagi serbuan turut dilakukan di sebuah premis di kampung Sikaro, Pulai, Baling pada pukul 11 pagi.
“Premis berkenaan dikesan telah menjalankan aktiviti memproses kayu getah tanpa sebarang dokumen sah,” jelasnya.
Tambahnya, hasil serbuan itu, seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun yang bertindak sebagai penyelia premis ditahan bagi membantu siasatan.
Jelasnya, pelbagai jentera dan peralatan termasuk excavator, jentera shovel, mesin pemotong kayu, serta longgokan kayu getah dan pallet siap proses turut ditemukan.
“Kesemua barang kes dirampas dan diserahkan kepada JAS Kedah untuk tindakan lanjut.
“Majlis Daerah Baling turut mengeluarkan satu kompaun atas kesalahan mengendalikan kilang tanpa lesen sah mengikut Undang-Undang Kecil Perlesenan Perdagangan dan Perusahaan (PBT) Negeri Kedah 1985,” ujarnya
Kata Rosli, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM654,080 membabitkan mesin, kenderaan serta hasil kayu yang ditemukan di lokasi.
“Kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 serta kesalahan berkaitan lain,” katanya. – UTUSAN










