KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan menangguhkan pembentangan pindaan semula terhadap 16 Seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2019 (EKJS 2019) yang dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari 2024 lalu, kerana ia perlu melalui proses cukup rumit.
Timbalan Menteri Besar, Mohamed Fadzli Hassan berkata, walaupun draf akhir pindaan telah siap, ia belum boleh dibentangkan kerana perlu melepasi penelitian Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).
Katanya, pada masa sama draf akhir sudah diserahkan kepada Jemaah Ulama Maik untuk dinilaikan dan diterima kembali oleh Jawatankuasa Khas Kajian dan Pindaan EKJS 2019 bersama beberapa cadangan dan komen.
“Kita telah meneliti komen-komen tersebut dan ada antara cadangan daripada Jemaah Ulama Maik sudah dimasukkan ke dalam draf pindaan EKJS 2019 yang telah diserahkan kembali kepada Jemaah Ulama Maik untuk penilaian semula. Kini kita sedang menunggu keputusan Jemaah Ulama Maik.
“Jangkaan asal sememangnya mahu dibentang pada sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kali kini tetapi berikutan proses sebegitu teliti, ia memerlukan sedikit anjakan dan mungkin dibentangkan pada sidang akan datang,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd. Syahbuddin Hashim (BN-Galas) yang membangkitkan persoalan mengenai garis masa sebenar pindaan EKJS 2019 akan disiapkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Mohamed Fadzli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan berkata, proses pindahan mengambil masa lama kerana isu dibangkitkan adalah berkaitan pertindihan bidang kuasa negeri dan Persekutuan atau secara khususnya antara Parlimen dan DUN.
“Secara istilah, ia adalah sesuatu yang delicate atau amat rumit kerana pertindihan yang dibangkitkan adalah susah dan samar. Maka ia memerlukan proses sangat teliti.
“Sebab itu kerajaan negeri membentuk dua jawatankuasa khas, iaitu induk dan teknikal yang dibarisi oleh kalangan pakar daripada semua bidang berkaitan termasuk jabatan-jabatan kerajaan negeri, Pejabat Mufti Kelantan, Maik dan tenaga-tenaga pakar akademik,” ujarnya. – UTUSAN











