KUALA TERENGGANU: Peningkatan mendadak kes perceraian di Terengganu disifatkan sebagai petunjuk awal krisis sosial yang memerlukan tindakan segera dan menyeluruh daripada semua pihak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Mohd. Noor berkata, statistik tahun 2025 menunjukkan kes perceraian melonjak kepada 3,810 kes berbanding 2,798 kes pada 2024 dan 1,802 kes pada 2023, sekali gus menjadi jumlah tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.
Katanya, data Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut meletakkan Terengganu dalam kelompok lapan negeri tertinggi bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun lalu.
“Ini bukan sekadar angka statistik tetapi amaran kepada krisis sosial. Majoriti kes melibatkan pasangan muda dengan tempoh perkahwinan kurang 10 tahun akibat tekanan ekonomi, kegagalan komunikasi dan ketidakstabilan emosi,” katanya ketika membahaskan titah Pemangku Raja Terengganu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di sini.
Sehubungan itu, Zuraida mencadangkan empat intervensi strategik bagi menangani isu berkenaan termasuk memperkukuh kestabilan ekonomi melalui peluang kerjaya dan keusahawanan serta mewajibkan pendidikan pengurusan kewangan sebelum perkahwinan.
Selain itu, beliau menekankan keperluan menambah baik kursus pra-perkahwinan dengan modul lebih praktikal, menangani campur tangan pihak ketiga dalam rumah tangga serta memperkukuh intervensi terhadap isu sosial khususnya penagihan dadah.
Beliau turut mengingatkan bahawa perceraian bukan semata-mata kegagalan, sebaliknya merupakan jalan terakhir yang dibenarkan sekiranya perkahwinan tidak lagi dapat dipertahankan.
“Statistik tahun 2025 menunjukkan sebanyak 296 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di Terengganu, dengan antara punca utama adalah perselisihan faham dan pengaruh dadah,” ujarnya.
Sementara itu, Zuraida turut menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes kanser dalam kalangan wanita di negeri ini yang menunjukkan trend membimbangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. – UTUSAN











