WASHINGTON: Pengarah Biro Penyiasatan Pusat (FBI), Kash Patel, pada Isnin memfailkan saman fitnah terhadap sebuah majalah Amerika Syarikat (AS)yang melaporkan beliau kerap minum alkohol secara berlebihan dan berisiko kehilangan jawatannya.
Patel menuntut ganti rugi sebanyak AS$250 juta (RM989 juta) daripada The Atlantic dan penulis artikel tersebut, Sarah Fitzpatrick, atas apa yang digambarkan dalam saman itu sebagai laporan serangan menyeluruh, berniat jahat dan berunsur fitnah.
“Defendan sememangnya bebas untuk mengkritik kepimpinan FBI,” menurut aduan yang difailkan di mahkamah daerah persekutuan di Washington.
“Namun, mereka telah melampaui batas undang-undang dengan menerbitkan artikel yang sarat dengan dakwaan palsu dan jelas direka-reka, bertujuan memusnahkan reputasi Pengarah Patel serta menyingkirkannya daripada jawatan,” menurut aduan tersebut.
Menurut The Atlantic, kedudukan Patel sebagai ketua FBI, agensi penguatkuasaan undang-undang tertinggi, terancam sebahagiannya disebabkan apa yang didakwa sebagai episod minum berlebihan dan ketidakhadiran tanpa penjelasan.
Dalam aduan fitnahnya, Patel mempertikaikan penggunaan sumber tanpa nama oleh majalah itu dalam laporan berkenaan.
“Fitzpatrick gagal mendapatkan seorang pun individu untuk tampil secara terbuka menyokong dakwaan keterlaluan ini, sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada sumber tanpa nama yang beliau tahu sangat berpihak dan mempunyai agenda tersendiri,” menurut saman itu.
“Defendan menerbitkan artikel tersebut dengan niat jahat sebenar, walaupun telah diberi amaran secara jelas, beberapa jam sebelum penerbitan, bahawa dakwaan utama itu adalah sepenuhnya tidak benar,” tambah saman tersebut.
Namun, The Atlantic mengeluarkan kenyataan pada Isnin mempertahankan laporan tersebut.
“Kami berpegang teguh pada laporan kami mengenai Patel, dan kami akan mempertahankan The Atlantic dan wartawan kami dengan bersungguh-sungguh terhadap saman yang tidak berasas ini,” kata majalah itu.
Sejak dilantik sebagai pengarah FBI, Patel telah dituduh menjalankan pembersihan dalaman terhadap ejen-ejen yang dianggap tidak setia kepada Presiden Donald Trump. Antara yang dipecat termasuk ejen yang terlibat dalam kes jenayah terhadap Trump selepas beliau meninggalkan jawatan presiden pada 2021. – AFP










