TANAH MERAH: Mahkamah Majistret di sini hari ini menolak permohonan reman terhadap empat individu bagi membantu siasatan kes seorang penternak lembu yang cedera pada bahagian dagu selepas ditembak dalam kejadian di ladang kelapa sawit Kemahang, di sini semalam.
Keputusan itu dibuat Majistret Tun Faez Fikhrie Tun Asrul Saini selepas mendapati tiada kaitan yang cukup kuat antara suspek terlibat dengan kesalahan disiasat.
Terdahulu, kesemua suspek berusia 21 tahun hingga 45 termasuk seorang warganegara Indonesia tiba di mahkamah menaiki trak polis pada pukul 8.40 pagi.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, polis giat memburu lima lelaki warga tempatan dan Thailand bagi membantu siasatan kes tembak seorang penternak lembu dalam kejadian di ladang kelapa sawit Kemahang.
Dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu, mangsa Mohd. Khairul Amri Ab. Kadir, 43, cedera pada bahagian dagu dan sedang menerima rawatan di Hospital Tanah Merah di sini.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd. Haki Hasbullah berkata, berdasarkan laporan pengadu yang merupakan seorang jurujual berusia 35 tahun, mangsa bersama rakan-rakannya menjalankan rondaan di kawasan ladang berkenaan kira-kira pukul 1.30 pagi bagi mengesan suspek kes mencuri lembu. – UTUSAN










