KUALA TERENGGANU: Dokumen kemas kini Garis Panduan Syariah Negeri Terengganu kini berada di peringkat akhir sebelum diangkat untuk pertimbangan dan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, dokumen tersebut akan diterbit dan dilancarkan dalam masa terdekat sejurus selepas mendapat kelulusan, sebelum dikuatkuasakan secara rasmi di seluruh negeri.
“Ïa merangkumi tiga komponen utama iaitu teras penganjuran sesuatu acara dan hiburan, pengelasan jenis acara dan hiburan serta garis panduan melibatkan aktiviti lain termasuk penerbitan, promosi, pelancongan dan perayaan masyarakat bukan Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Zuraida Mohd. Noor (Pas-Ladang) mengenai perkembangan terkini garis panduan tersebut pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Dr. Muhammad Khalil berkata, kerajaan negeri komited memperkukuh pelaksanaan garis panduan itu melalui perakuan Jabatan Mufti Negeri Terengganu serta penilaian aspek perundangan termasuk keperluan pindaan atau penggubalan enakmen, kaedah, peraturan dan prosedur berkaitan.
“Langkah ini penting bagi memastikan garis panduan berkenaan bukan sahaja bersifat dasar, tetapi mampu dikuatkuasakan secara berkesan, menyeluruh dan berimpak tinggi,” katanya. – UTUSAN











