GUA MUSANG: Seorang suri rumah ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan lima laras senjata api termasuk raifal jenis M16 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Miak, di sini semalam.
Perintah tahanan reman terhadap wanita berusia 32 tahun itu sehingga Sabtu ini dikeluarkan oleh Hakim Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, suspek ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam serbuan di serbuan di sebuah rumah Kampung Miak.
Katanya, tahanan reman itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki senjata api.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, PGA merampas lima laras senjata api termasuk jenis M-16 selepas menahan seorang wanita dalam serbuan di Kampung Miak.
Wanita itu ditahan pada pukul 6.45 petang dalam Ops Bersepadu Khazanah Siri 4/2026 membabitkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Jabatan Perhutanan negeri. – UTUSAN










