PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperketat pemantauan menerusi pelaksanaan Ops Tiris 4.0 susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang berpotensi menjejaskan rantaian bekalan global, sekali gus meningkatkan risiko ketirisan barangan keperluan asas dalam negara.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, langkah itu dilaksanakan bagi memastikan bekalan barangan kawalan seperti beras, minyak masak, gula, tepung gandum serta bahan api bersubsidi kekal mencukupi dan tidak diseleweng ke pasaran tidak sah.
Menurutnya, dalam situasi ketidaktentuan global, risiko penyeludupan dan penyelewengan bekalan bersubsidi boleh meningkat sekiranya kawalan tidak diperkukuh.
“Ops Tiris 4.0 memberi fokus kepada pemantauan menyeluruh rantaian pengedaran bagi memastikan barangan bersubsidi ini sampai kepada golongan sasar serta tidak tiris ke pihak yang tidak berhak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Beliau berkata, KPDN turut giat mempergiat kerjasama dengan pelbagai agensi bagi mengekang sebarang cubaan mengambil kesempatan terhadap situasi semasa.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pengguna perlu memainkan peranan dengan tidak melakukan pembelian luar biasa yang boleh menjejaskan kestabilan bekalan di peringkat setempat.
“Orang ramai juga tidak harus terpengaruh dengan khabar angin berkaitan kekurangan bekalan kerana keadaan semasa masih terkawal dan mencukupi.
“Sekiranya terdapat rak barangan kosong dalam tempoh lama atau kenaikan harga tidak munasabah, pengguna perlu segera melaporkannya kepada KPDN” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini tiada tanda pembelian panik dalam kalangan rakyat, sebaliknya masyarakat dilihat lebih berdisiplin dalam mengurus perbelanjaan.
“Rakyat kini lebih peka terhadap kesan konflik geopolitik terhadap ekonomi global dan mengambil pendekatan berjimat cermat bagi menghadapi kemungkinan kenaikan kos sara hidup,” jelasnya. – UTUSAN











