IOI Properties ambil alih pejabat Gred A di Marina Bay bernilai RM7.7 bilion

IOI Properties ambil alih pejabat Gred A di Marina Bay bernilai RM7.7 bilion

ASIA Square Tower 2 dihubungkan terus ke IOI Central Boulevard Towers melalui jambatan pejalan kaki bertingkat di CBD Marina Bay.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: IOI Properties Group Berhad (IOIPG) terus mengukuhkan kedudukannya di Singapura apabila bersetuju mengambil alih sepenuhnya Asia Square Tower 2 (AST2), sebuah bangunan pejabat Gred A di Marina Bay, menerusi urus niaga bernilai S$2.476 bilion (RM7.7 bilion).

Langkah strategik itu mencerminkan keyakinan syarikat terhadap potensi jangka panjang pasaran hartanah komersial republik itu.

Urus niaga itu dimeterai menerusi perjanjian opsyen jual dan beli antara HSBC Institutional Trust Services (Singapore) Limited selaku pemegang amanah CapitaLand Commercial Trust dan IOI Marina View Pte Ltd, anak syarikat milik penuh IOIPG.

Nilai pembelian tersebut adalah berdasarkan prinsip pembeli dan penjual yang rela, selepas mengambil kira penilaian bebas oleh Savills bertarikh 12 April 2026, dan mewakili diskaun sebanyak S$50 juta berbanding nilai pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOIPG, Datuk Lee Yeow Seng berkata, pengambilalihan itu mencerminkan keyakinan berterusan syarikat terhadap pasaran Singapura yang disifatkan sebagai stabil dari segi sosio-politik serta kekal sebagai hab kewangan utama di rantau ini.

Menurutnya, Singapura terus menjadi destinasi pilihan syarikat multinasional, institusi global dan tenaga kerja berkemahiran tinggi, sekali gus menyokong daya tahan ekonomi jangka panjang negara tersebut.

“Aset utama seperti di Marina Bay berada pada kedudukan strategik untuk meraih manfaat daripada permintaan pejabat yang kukuh, bekalan yang terhad serta pembangunan bandar yang berterusan,” katanya dalam kenyataan.

AST2 mempunyai keluasan boleh disewa bersih (NLA) kira-kira 773,460 kaki persegi dengan spesifikasi bangunan bertaraf tinggi serta sambungan terus ke rangkaian pengangkutan dan kemudahan gaya hidup.

Bangunan itu turut dihubungkan ke 101 Central Boulevard Towers melalui jambatan pejalan kaki bertingkat, sekali gus mengukuhkan integrasi portfolio sedia ada.

Beliau berkata, pemerolehan tersebut memperkukuh kehadiran IOIPG di CBD, melengkapi aset sedia ada termasuk IOI Central Boulevard Towers dan South Beach Tower.

“Secara keseluruhan, aset di bawah pengurusan IOIPG di Singapura meningkat kepada S$10 bilion dengan pemilikan penuh, melibatkan pembangunan komersial premium di lokasi utama.

“Penambahan AST2 menjadikan jumlah NLA portfolio pelaburan hartanah Kumpulan meningkat kepada 2.57 juta kaki persegi dan dijangka mengukuhkan aliran pendapatan berulang,” jelasnya.

Sehingga 31 Mac 2026, AST2 mencatat kadar penghunian purata 95.8 peratus, disokong permintaan stabil ruang pejabat premium di CBD serta bekalan baharu yang terhad.

Dari segi operasi, IOI Properties Singapura akan memanfaatkan keupayaan pengurusan aset bagi mengoptimumkan prestasi, mengurus pembaharuan pajakan serta memacu nilai jangka panjang.

Kedudukan AST2 yang berhampiran IOI Central Boulevard Towers dan South Beach Tower turut menyokong strategi pengelompokan portfolio di CBD selain membolehkan pengembangan penyewa serta sinergi operasi.

Platform pejabat yang diperluas itu membolehkan kumpulan menawarkan variasi saiz ruang kepada penyewa, daripada kira-kira 15,000 kaki persegi di South Beach, 22,000 kaki persegi di IOI Central Boulevard Towers hingga 30,000 kaki persegi di AST2.

Langkah itu turut meletakkan IOI Properties Singapura pada kedudukan strategik untuk memperkukuh portfolio hartanah komersial matang bagi menjana pendapatan mampan serta memacu pertumbuhan melalui pemerolehan terpilih.

Semalam, saham IOI Properties Group dibuka pada paras RM3.90 pada pukul 9 pagi sebelum digantung dagangan buat sementara waktu, namun menyusut kepada RM3.79 pada pukul 10.05 pagi selepas dagangan disambung semula.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×