SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah menyarankan supaya Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung pada Ogos ini ditangguhkan susulan konflik Asia Barat.
Malah, baginda juga menasihatkan supaya penganjuran Piala Sultan Selangor bagi perlawanan bola sepak tahunan antara Selangor dan Singapura bagi tahun ini dibatalkan.
“Beta difahamkan peruntukan yang diperlukan adalah sangat tinggi. Dalam keadaan ekonomi semasa, beta berpandangan lebih wajar penganjuran tersebut ditangguhkan sehingga krisis di Timur Tengah selesai dan sehingga Stadium Shah Alam siap,” titah baginda pada pembukaan Istiadat Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 2026 di sini, hari ini.
Selain itu, Sultan Sharafuddin turut menasihatkan supaya semua pihak berjimat-cermat dalam menghadapi keadaan ekonomi semasa yang amat mencabar.
“Beta amat bimbang dengan kenaikan harga minyak dan gas dunia serta kekurangan bekalan minyak akibat daripada peperangan di Timur Tengah yang memberi kesan langsung kepada negara kita, sehingga mengakibatkan kenaikan harga barangan keperluan sekali gus mengakibatkan peningkatan kos sara hidup rakyat.
“Sehubungan itu, beta menitahkan kerajaan negeri memberi keutamaan sepenuhnya kepada perbelanjaan keperluan asas yang penting bagi membantu rakyat meringankan beban yang mereka hadapi.
“Segala bentuk pembaziran hendaklah dielakkan dan setiap sen yang dibelanjakan mestilah memberi faedah sepenuhnya kepada rakyat yang teruk terjejas dan memerlukan bantuan.
Sultan Selangor juga mengingatkan kerajaan negeri supaya mengutamakan kebajikan rakyat dalam setiap perancangan dan pelaksanaan dasar negeri.
Minggu lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Selangor melaksanakan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 dengan peruntukan sebanyak RM130.42 juta bagi menangani kesan akibat konflik di Asia Barat.
Rangsangan tersebut dirangka bagi mengukuhkan keterjaminan bekalan makanan, mengurangkan kos sara hidup rakyat, mengawal inflasi, meningkatkan pengangkutan awam dan memberi bantuan kepada golongan paling terkesan. – UTUSAN








