SINGAPURA: StarDream Cruises terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen pelancongan halal dengan menjadi antara kapal pelayaran pertama yang berjaya memperoleh pensijilan halal sepenuhnya di atas kapal, sekali gus membuka lembaran baharu dalam industri pelayaran di rantau ini.
Presidennya, Michael Goh berkata, syarikat telah mendapatkan pensijilan tersebut kira-kira tiga tahun lalu dan melibatkan pelaksanaan menyeluruh merangkumi penyediaan makanan, operasi dapur serta rantaian bekalan.
Menurut beliau, usaha itu bukan sahaja memenuhi keperluan pelancong beragama Islam, malah turut merangkumi keperluan diet lain termasuk vegetarian dan pilihan makanan khas bagi pelanggan dari India.
“Inisiatif ini memberi keyakinan kepada pelancong Islam, khususnya di ASEAN untuk menikmati pengalaman pelayaran tanpa kebimbangan terhadap aspek pematuhan syariah.
“Kami merupakan syarikat pelayaran pertama dan satu-satunya yang mendapat pengiktirafan halal, vegetarian dan kemudian pensijilan Jian sebenar di atas kapal kami.
“Setakat ini belum ada syarikat pelayaran lain yang berjaya meniru pensijilan halal sepenuhnya seperti yang dilaksanakan oleh StarDream Cruises, memandangkan ia memerlukan perubahan operasi yang kompleks di atas kapal,” katanya pada Pemeran Jenama StarDream Cruises di sini, baru-baru ini.
Dalam masa sama, pendekatan tersebut dilihat sebagai langkah strategik untuk menembusi pasaran pelancongan Islam global yang semakin berkembang pesat, selain meningkatkan daya saing syarikat di peringkat antarabangsa.
Michael berkata, kejayaan ini didorong oleh keupayaan syarikat menyesuaikan operasi mengikut keperluan pelanggan serta memahami perubahan tingkah laku pelancong.
“Fokus kami adalah untuk sentiasa berada di hadapan dengan memahami apa yang pelanggan perlukan dan menyesuaikan produk kami agar relevan dengan pasaran.
“Syarikat akan terus melakukan perkara ini dan itulah sebenarnya model perniagaan dan bagaimana syarikat menjalankan operasi kapal kami,” ujarnya. – UTUSAN











