KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan menyiasat secara menyeluruh kegiatan mencuri ikan kelah di Santuari Kelah Sungai Petang, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, dekat sini yang semakin membimbangkan.
Langkah itu diambil susulan pencerobohan dipercayai dilakukan secara terancang sehingga menyebabkan kehilangan spesies bernilai tinggi tersebut serta menjejaskan populasinya di kawasan berkenaan.
Kegiatan itu disifatkan sebagai jenayah serius yang bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mengancam kelestarian khazanah alam negeri.
Lebih membimbangkan, insiden itu turut memaksa penutupan sementara kawasan santuari berkenaan kepada orang awam.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pihaknya tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat.
“Tindakan tegas akan diambil. Hentikan segera kegiatan ini atau berdepan tindakan undang-undang tanpa sebarang kompromi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau berkata, pihak berkuasa akan memperketat kawalan keselamatan di kawasan santuari selain meningkatkan pemantauan dan rondaan secara berterusan.
Katanya, siasatan menyeluruh juga sedang digerakkan termasuk kemungkinan wujud penglibatan sindiket dalam kegiatan tersebut.
“Kerajaan negeri memandang serius perkara ini kerana ikan kelah adalah spesies bernilai tinggi serta simbol kekayaan biodiversiti yang perlu diuelihara untuk generasi akan datang,” ujarnya.
Beliau menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang aktiviti mencurigakan.
“Khazanah alam bukan untuk dijarah, sebaliknya amanah yang wajib dipulihara bersama,” katanya.
Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan, harga ikan kelah yang lumayan mendorong segelintir individu sanggup menceroboh ke Santuari Kelah Sungai Petang untuk mencuri spesies ikan bernilai tinggi itu. – UTUSAN










