WASHINGTON/TEHERAN: Ketegangan antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) semakin memuncak selepas Iran menutup semula Selat Hormuz kurang 24 ham selepas dibuka manakala pihak berkuasa maritim melaporkan insiden tembakan dan serangan projektil melibatkan dua kapal dagang India.
Penutupan itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap ancaman sekatan laut berterusan ke atas pelabuhan Iran seperti diumumkan Presiden AS, Donald Trump jika perjanjian damai tidak dicapai pada Jumaat selepas Teheran membuka balik selat itu susulan gencatan senjata selama 10 hari antara Israel dengan Lubnan.
Iran menyatakan bahawa laluan strategik itu, yang membawa kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia, akan kekal ditutup sehingga AS menarik balik sekatannya. Kor Pengawal Revolusi Iran juga memberi amaran bahawa mana-mana kapal yang cuba melintasi selat itu boleh dianggap sebagai bekerjasama dengan musuh dan mungkin menjadi sasaran.
Selat Hormuz ialah laluan perkapalan paling kritikal di dunia untuk eksport minyak dan gas, menjadikannya sebagai pusat utama krisis yang sedang berlaku selepas ditutup Iran kali pertama pada permulaan perang Asia Barat.
Menurut laporan, beberapa kapal tangki minyak telah cuba melintasi kawasan itu, tetapi sebahagiannya berpatah balik, manakala ada juga insiden tembakan terhadap kapal dagang ketika ketegangan meningkat.
Penutupan itu berlaku ketika gencatan senjata selama dua minggu dikuatkuasakan sejak Rabu minggu lalu selepas selepas AS bersama Israel menyerang Iran bermula sejak 28 Februari lalu.
INDIA
New Delhi telah memanggil duta Iran padai Sabtu untuk mengemukakan bantahan berhubung dua kapal dagangnya ditembak di Selat Hormuz.
Ia turut menggesa Iran supaya menyambung semula secepat mungkin proses memudahkan laluan kapal-kapal yang menuju ke India melalui selat itu.
Duta tersebut kemudian berjanji untuk menyampaikan pandangan ini kepada pihak berkuasa Iran dalam kejadian yang tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa dan cuba kerosakan pada kapal tersebut.
PERUBAHAN DASAR
Langkah Iran itu berlaku selepas siri perubahan dasar yang bercampur-campur. Selat itu sebelum ini dibuka seketika, sebelum ditutup semula dalam tempoh singkat, mencerminkan ketidaktentuan situasi di lapangan.
Trump mempertahankan tindakan sekatan AS dan menuduh Iran cuba memeras ugut Washington dan menyatakan bahawa tekanan akan diteruskan sehingga satu perjanjian dicapai.
Beliau ketika bercakap kepada wartawan di Rumah Putih, Washington DC menuduh Iran bermain helah dengan tindakan terbarunya dan memberi amaran agar Teheran tidak cuba memeras ugut Washington dengan perubahan pendiriannya mengenai Selat Hormuz.
Trump berkata, AS masih terlibat dalam rundingan dengan Iran dan memberi bayangan bahawa keputusan sama ada kedua-dua pihak akan meneruskan perjanjian mungkin diketahui kemudian.
Situasi kini meningkatkan kebimbangan global terhadap kemungkinan gangguan bekalan tenaga dan risiko konflik ketenteraan yang lebih luas di rantau itu.
SEDIA BERPERANG
Dalam pada itu, Speaker Parlimen Iran, Mohammad Baqer Qalibaf berkata, Teheran pada masa sama sedang terlibat dalam diplomasi dan bersedia menghadapi konfrontasi ketenteraan dan menyatakan bahawa negaranya tidak mempercayai pihak lawan serta bersedia untuk sebarang peperangan.
Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen kepada rakyat pada malam Sabtu, Qalibaf berkata: “Perang bermula semasa rundingan akibat penipuan Amerika.” Beliau menambah bahawa konflik terdahulu juga bermula dengan pembunuhan para komander Iran. Qalibaf berkata, Iran memasuki konflik terkini dengan pengalaman daripada perang 12 hari dengan AS-Israel pada Jun 2025.
Beliau menyatakan bahawa Iran telah menunjukkan kelebihan dari segi perancangan, kualiti dan pelaksanaan dan menambah bahawa walaupun musuh mungkin tidak mempercayainya, ia telah menyaksikannya di medan perang.
Qalibaf merujuk kepada kehadiran rakyat yang berterusan dan pencapaian ketenteraan terkini, dengan berkata tentera Iran telah memintas antara 170 hingga 180 dron semasa perang AS-Israel.
Beliau juga menyebut tentang penembakan jatuh pesawat pejuang canggih hasil usaha operasi yang dibangunkan selama beberapa bulan.
Speaker itu menjelaskan bahawa Iran tidak mendakwa memiliki kuasa ketenteraan lebih besar daripada Amerika tetapi berkata, Iran menganggap dirinya menang dalam konflik tersebut berdasarkan prestasi dan hasil yang dicapai.
Beliau menyatakan bahawa walaupun peralatan ketenteraan penting, ia tidak sentiasa menentukan kemenangan dan mengaitkan kejayaan Iran kepada perancangan serta kesiapsiagaan. Beliau menambah bahawa musuh masih salah menilai rakyat Iran dan strategi ketenteraan negara itu.
KRITIK
Beliau turut mengkritik langkah AS mengenakan sekatan laut ke atas Iran, menyifatkannya sebagai tidak tepat dan menyatakan bahawa Iran mempunyai kawalan penuh ke atas Selat Hormuz.
Speaker itu berkata, Iran telah mencapai objektifnya manakala musuh gagal mencapai matlamat mereka dan Teheran tidak akan membenarkan AS mencampuri atau memainkan peranan dalam laluan strategik tersebut.
Beliau juga menyatakan bahawa Iran mahukan keamanan berkekalan tetapi masih tidak mempercayai AS selain berharap kepada penyelesaian yang kekal serta terjamin untuk mengelakkan kitaran perang, gencatan senjata dan konflik berulang.
Dalam perang itu, 3,468 mati syahid di Iran, menurut Yayasan Syahid dan Hal Ehwal Veteran. Menurut Al Jazeera, sekurang-kurangnya 26 orang maut di Israel, 13 askar AS dan 28 orang terbunuh di negara-negara Teluk.










