KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memperkenal sistem e-Amil, iaitu platform inovatif yang dijangka merevolusikan pengurusan zakat di negeri ini.
Yang Dipertuanya, Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, sistem tersebut dibangunkan bagi memudahkan urusan kutipan, rekod dan pindahan zakat secara lebih cekap, telus dan sistematik selaras dengan perkembangan teknologi semasa.
Katanya, pelaksanaan e-Amil bukan sahaja meningkatkan kecekapan tadbir urus, malah memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap institusi zakat melalui pengurusan yang lebih moden dan berintegriti.
“Langkah ini selari dengan peningkatan prestasi MAIK apabila kutipan zakat mencatat rekod tertinggi iaitu RM354.6 juta tahun lalu, meningkat 19 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Daripada jumlah itu, sebanyak RM337.4 juta diagihkan kepada golongan asnaf, meningkat 25 peratus berbanding 2024,” katanya pada sidang akhbar Laporan Khas Kutipan dan Agihan Zakat MAIK 2025, di sini hari ini.
Tengku Temengong Kelantan itu berkaa, transformasi digital menerusi e-Amil dijangka memperkemas proses agihan agar lebih pantas dan tepat sasaran, khususnya kepada golongan fakir dan miskin yang menerima lebih RM117.4 juta bantuan sepanjang tahun lalu.
Katanya, selain mempercepat urusan pentadbiran, sistem tersebut membolehkan pemantauan data secara masa nyata, sekali gus membantu MAIK merancang agihan zakat dengan lebih strategik dan berkesan.
“Pendigitalan ini penting bagi memastikan setiap sen zakat dapat diurus dengan amanah serta sampai kepada penerima yang benar-benar layak,” ujarnya. – UTUSAN










