KETEGANGAN geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan tekanan perubahan iklim kini berada pada tahap yang semakin meruncing.
Dalam mendepani cabaran ini, industri makanan halal bukan lagi sekadar soal pematuhan dan pensijilan; ia telah beralih menjadi isu daya tahan, kedaulatan negara, dan persoalan kelangsungan keterjaminan makanan (sekuriti makanan) jangka panjang.
Secara tradisinya, wacana mengenai makanan halal sering dilihat melalui lensa pematuhan syarak dan amalan penggunaan yang beretika. Namun hari ini, pergolakan global mendesak halal untuk dibicarakan dalam kerangka strategik yang lebih luas.
Dalam dunia yang semakin tidak stabil, halal bersilang secara langsung dengan kelangsungan sekuriti makanan, daya tahan ekonomi dan kesiapsiagaan nasional.
Bagi masyarakat pengguna halal, kebergantungan tinggi kepada makanan import khususnya sumber protein haiwan seperti ayam dan daging ruminan mendedahkan kelemahan struktur yang merentasi batas piawaian pensijilan.
Malaysia menjadi satu bukti yang kritikal: Kita cemerlang dalam perihal tadbir urus halal negara di peringkat antarabangsa tetapi malangnya tidak diterjemahkan secara automatik kepada keterjaminan makanan yang mutlak.

Kebergantungan Import
Malaysia sentiasa diiktiraf di pentas global kerana sistem pensijilan dan tadbir urus halalnya yang komprehensif. Ironinya, di sebalik reputasi agung ini, negara kita masih amat bergantung kepada daging, ayam dan bahan mentah import untuk memenuhi permintaan domestik.
Setiap tahun, bil import makanan dan pertanian Malaysia mencecah puluhan bilion ringgit, di mana import daging ruminan dan ayam sahaja menyumbang angka yang sangat besar.
Produk-produk ini dibawa masuk dari negara-negara seperti Australia, New Zealand, India, Brazil dan Thailand yang masing-masing tertakluk kepada keutamaan domestik, suhu politik dan dasar perdagangan mereka sendiri.
Kini, dunia berhadapan dengan ketidakstabilan politik global yang kritikal. Realitinya, sebarang lonjakan harga minyak mentah akibat konflik di rantau Asia Barat akan mencetuskan kesan domino yang melumpuhkan seluruh pasaran global.
Bermula dengan krisis tenaga dan peningkatan drastik kos logistik, ia merebak dengan pantas menjadi krisis inflasi global.
Apabila kos input pertanian seperti baja dan makanan haiwan (dedak) melambung tinggi akibat kos pengeluaran yang meningkat, ia akhirnya membawa kepada krisis kekurangan bekalan makanan.
Rentetan peristiwa ini secara langsung merobek kedaulatan makanan (food sovereignty) negara-negara pengimport seperti Malaysia yang terpaksa tunduk kepada harga pasaran yang di luar kawalan.
Bukan itu sahaja, di peringkat serantau, kita sedang menyaksikan kebangkitan semula dasar perlindungan ekonomi (protectionism).
Negara-negara seperti Thailand dan China kini mula melaksanakan langkah defensif seperti mengehadkan eksport pertanian dan makanan ruji demi memelihara pasaran tempatan mereka daripada krisis inflasi.
Negara-negara pengeksport akan sentiasa mengutamakan kelangsungan rakyat mereka ketika krisis, meninggalkan negara pengimport seperti Malaysia berdepan masalah kekurangan bekalan yang mengejut dan lonjakan harga yang mendadak.
Kuasa-kuasa ekonomi utama telah mengguna pakai langkah tarif dan perdagangan yang menyusun semula aliran makanan global. Hakikat yang mesti diterima secara kritis hari ini: Akses kepada bekalan makanan halal tidak boleh disandarkan sepenuhnya kepada pasaran antarabangsa yang semakin sukar dijangka.
Sebagai tindak balas, banyak negara mula memikirkan semula bagaimana makanan dihasilkan dan dijamin. Sekuriti makanan kini tidak lagi ditakrifkan sekadar kewujudan bekalan dan harga yang berpatutan, tetapi lebih kepada daya tahan (resilience) dan keupayaan berdikari (self-reliance).
Ini telah merancakkan minat terhadap teknologi makanan alternatif seperti daging kultur (cultured meat), penapaian persis (precision fermentation), dan pertanian persekitaran terkawal.
Negara seperti Singapura dan Australia telah pun melabur secara agresif dalam ekosistem inovasi makanan bagi memastikan jaminan sekuriti protein jangka panjang. Langkah pragmatik ini diambil semata-mata untuk memastikan sistem makanan mereka terus berfungsi walaupun berdepan malapetaka atau konflik global.
Halal Merentasi Pensijilan
Halal bukan sekadar soal boleh dimakan atau haram, tetapi merangkumi elemen halalan toyyiban, kepercayaan, kebolehjejakan, dan kesinambungan bekalan.
Pengalaman Malaysia menunjukkan jurang struktur yang besar antara tadbir urus halal yang kukuh berbanding kapasiti pengeluaran tempatan yang terhad, terutamanya bagi daging ruminan halal.
Realiti ini menuntut satu anjakan paradigma yang strategik; kita mesti berubah daripada sekadar menjadi ‘pengguna dan badan pensijilan’ produk halal dunia, kepada sebuah negara ‘pengeluar halal’ yang teguh dan berdikari.
Teknologi baharu seperti daging kultur yang mematuhi syariah dan sistem perladangan dan pertanian pintar tidak seharusnya dilihat sebagai sekadar inovasi spekulatif sains, tetapi wajar diklasifikasikan sebagai instrumen strategik yang kritikal untuk mempertahankan kelangsungan makanan negara pada masa hadapan.
Namun, kemajuan teknologi semata-mata tidak mencukupi. Dalam masyarakat Islam, makanan berkait rapat dengan budaya, tradisi dan nilai etika. Kaedah pengeluaran moden pastinya akan menimbulkan persoalan syarak berkenaan hukum, etika, dan keasliannya.
Secara positifnya, beberapa institusi agama dan pihak berkuasa fatwa di pelbagai negara telah menunjukkan keluwesan bahawa teknologi makanan baharu boleh diiktiraf halal asalkan mematuhi prinsip asas Islam. Namun, penerimaan awam menuntut pendidikan yang berterusan, ketelusan dan dialog terbuka antara saintis, pembuat dasar, institusi agama dan pengguna. Tanpa kesiapsiagaan sosial, inovasi yang mematuhi syarak sekali pun berisiko ditolak oleh masyarakat bukan atas alasan hukum, tetapi akibat krisis persepsi dan tiadanya rasa percaya.
Dari Pematuhan Kepada Daya Tahan
Evolusi ekosistem halal daripada sebuah kerangka pensijilan kepada komponen utama strategi sekuriti makanan mencerminkan satu peralihan mendesak di peringkat global.
Halal pada hari ini mesti difahami bukan sahaja sebagai satu kewajipan agama, tetapi sebahagian daripada pembangunan mampan, daya tahan ekonomi dan kesiapsiagaan pertahanan negara.
Negara yang berjaya menggabungkan tadbir urus halal dengan kapasiti pengeluaran domestik, inovasi sains dan libat urus masyarakat akan berada pada posisi yang jauh lebih ke hadapan untuk mendepani krisis global yang akan datang.
Sebaliknya, mereka yang gagal bertindak akan menyedari bahawa sekeping sijil halal langsung tidak mampu mengenyangkan perut rakyat atau melindungi negara di kala dunia dilanda konflik.
Persoalan paling kritikal kita pada masa hadapan bukan lagi sama ada status makanan itu boleh disijilkan halal atau tidak, tetapi sama ada makanan halal tersebut mampu dihasilkan, dilindungi dan terus dipertahankan untuk generasi yang akan datang. – UTUSAN
DR. Amarul Arief Mohd. Shuhaimi ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan dan Kewangan Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.











